USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN BRACHYACADEMY USM ANTARA TERBAIK DI DUNIA DAN TERBAIK DI ASIA

WhatsApp Image 2024 07 02 at 16.36.19

BERTAM PULAU PINANG, 2 Julai 2024 – Kecemerlangan Pusat Perubatan USM Bertam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah mendapat perhatian dunia apabila BrachyAcademy, sebuah organisasi antarabangsa yang berpangkalan di Belanda, telah dengan rasminya mengisytiharkan IPPT sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy atau BrachyAcademy Educational Centre of Excellence.

WhatsApp Image 2024 07 02 at 16.36.35

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini telah hadir ke IPPT USM bagi merasmikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy yang mana IPPT merupakan satu-satunya pusat brakiterapi yang merawat kanser lidah dalam jumlah yang tinggi menggunakan teknik HyBIRT (Hybrid Brachytherapy followed by Intensity Modulated Radiotherapy) dan menjadi perintis kepada teknik ini di seluruh dunia.

Ditubuhkan sejak 2002, PPUSMB kini telah berkembang kepada sebuah pusat perubatan yang menawarkan perkhidmatan onkologi, radioterapi dan brakiterapi untuk merawat kanser terutamanya untuk kanser kepala dan leher, hati, esofagus dan sarcoma.

Zambry Abd Kadir dalam ucapannya berkata Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy ini telah meletakkan Malaysia di peringkat dunia yang boleh dijadikan sebagai pusat rujukan.

WhatsApp Image 2024 07 02 at 16.36.14

“USM telah mencapai satu kejayaan yang membanggakan kita semua, dan saya akan membawa kejayaan ini ke pengetahuan YAB Perdana Menteri Malaysia, bagi merencanakan perkembangan pusat ini supaya ia bukan sahaja dapat menjadi pusat rujukan bagi rawatan kanser di wilayah utara sahaja, malah untuk dikembangkan ke peringkat seluruh negara dan serantau,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed memberikan naratif penubuhan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Brachyacademy, yang mana perkhidmatan ini telah bermula sejak tahun 2015 dan telah merawat lebih 500 pelbagai jenis kes kanser.

WhatsApp Image 2024 07 02 at 16.36.37

Abdul Rahman turut membentangkan pencapaian IPPT dan usaha naik taraf ke Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser, di mana IPPT telah menyediakan pelbagai perkhidmatan perubatan pakar yang dapat menyokong perkhidmatan perawatan kanser menerusi penggunaan kaedah Radioterapi, Brakiterapi, Perubatan Nuklear, dan lain-lain. 

“Pada September 2022, IPPT telah menjenamakan semula kompleks penyelidikan klinikal sebagai Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB) yang menumpukan kepada perawatan kanser, termasuk rehabilitasi robotik dan pergigian sebagai rawatan sokongan dan pemulihan.

“Usaha ini dibuat selaras dengan bidang tujahan USM yang telah dikenal pasti bersama Kementerian Pendidikan Tinggi di dalam bidang kanser/ onkologi, yang mana sehingga tahun 2023, kira-kira 16,642 orang pesakit kanser telah dirawat di IPPT,” katanya.

WhatsApp Image 2024 07 02 at 16.36.38

Tambah Abdul Rahman, USM turut menjadi perintis teknik rawatan HyBIRT yang telah menyembuhkan lebih 50 pesakit kanser lidah tanpa perlu dilakukan pemotongan.

Menurutnya lagi, IPPT juga telah menerima undangan dan permohonan daripada ahli brakiterapi daripada luar negara untuk hadir dan menerima latihan di sini (fellowship training in brachytherapy), sejak menerima pengiktirafan BrachyAcademy. Sehingga kini, IPPT merupakan satu-satunya institusi di Malaysia yang menerima akreditasi ini.

IPPT telah menerima pengiktirafan antarabangsa daripada syarikat gergasi pembekal peralatan radioterapi dan rawatan kanser iaitu Elekta yang berpangkalan di Sweden, yang menawarkan geran penyelidikan berupa 50 set aplikator brakiterapi yang bernilai RM660,000.

WhatsApp Image 2024 07 02 at 16.36.20

Melalui geran ini, lebih ramai pesakit kanser lidah akan perolehi peluang rawatan dengan teknik HyBIRT ini, dan IPPT akan dapat meneruskan kajian berkaitan untuk meningkatkan lagi kekuatan data klinikal kita.

Teknik HyBIRT digunakan yang membolehkan IPPT diiktiraf dengan penganugerahan tersebut dengan membantu pesakit kanser kepala dan leher terutamanya kanser lidah, iaitu rawatan terapi radiasi yang disalurkan melalui tiub aplikator yang dimasukkan terus ke dalam kanser.

Rawatan ini adalah secara invasif minimal dan preservasi fungsi (minimally invasive and function preservation) yang membolehkan pesakit mengekalkan fungsi lidah dan boleh bertutur dan menelan dengan normal.

WhatsApp Image 2024 07 02 at 16.36.35 1

Pensyarah Perubatan/Pakar Perunding Otorinolaringologi dan Surgikal Brakiterapi, PPUSMB, Dr. Muhammad Yusri Musa memberi penerangan dan naratif tentang Pengenalan dan Kisah Kejayaan Perkhidmatan Brakiterapi USM: Teknik Inovasi Rawatan Kanser Bertaraf Dunia.

Turut diadakan ialah serahan Plak Akreditasi IPPT sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan BrachyAcademy daripada BrachyAcademy, The Netherlands kepada USM; serahan Sijil Pengiktirafan daripada ELEKTA kepada USM sebagai Pusat Perubatan Perintis di Asia Tenggara yang melaksanakan Kaedah Rawatan Preservasi Fungsi untuk Kanser Lidah melalui Teknik Brakiterapi unik ciptaan USM (HyBIRT); dan serahan Geran Penyelidikan Kanser Lidah RM660,000 daripada ELEKTA kepada USM.

Menteri Pendidikan Tinggi dan tetamu kenamaan turut meluangkan masa beramah mesra dengan enam pemandiri kanser teknik brakiterapi dan keluarga mereka.

Kecemerlangan IPPT dalam bidang brakiterapi telah meletakkan IPPT sebagai penerima akreditasi pertama dari Malaysia pada tahun 2020.

Akreditasi berprestij ini diberikan untuk 5 bidang kanser iaitu ginekologi, esofagus, hati, prostat serta kepala dan leher, sekaligus membuktikan kepakaran brakiterapi di IPPT mendapat pengiktirafan dunia.

Bagi bidang kanser kepala dan leher, IPPT terbukti unggul kerana termasuk dalam 3 institusi dari seluruh dunia yang diiktiraf dalam kategori ini. (rujukan: www.brachyacademy.com)

Dalam majlis pada petang ini, yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Pengarah IPPT dan PPUSMB, Profesor Dato’ Ir. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; jemputan khas wakil ELEKTA, Yohei Watanabe dan Paul Lee; ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU); pegawai-pegawai utama KPT dan JPT; barisan pengurusan IPPT; Ketua Unit Onkologi dan Radioterapi IPPT, Profesor Madya Dr. Gokula Kumar Appalanaido bersama pasukan rawatan brakiterapi IPPT/PPUSMB.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 459

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024