THE IMPACT RANKINGS 2024: USM TERUS KEKAL NO. 1 DI MALAYSIA DAN ASIA TENGGARA
USM PULAU PINANG, 12 Jun 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi berjaya mengekalkan kedudukannya di peringkat antarabangsa dalam senarai Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2024 yang telah diumumkan baru-baru ini.
USM telah berjaya mencapai tempat pertama di Malaysia dan Asia Tenggara, di samping berada dalam kelompok tiga terbaik di Asia, iaitu di kedudukan kedua selepas Yonsei University (Seoul campus), Korea Selatan.
Kejayaan ini menandakan pencapaian luar biasa USM dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diiktiraf di peringkat global.
Dalam penilaian THE Impact Ranking kali ini, USM telah menunjukkan keunggulan dalam tiga SDG utama iaitu SDG 16 (Kedamaian, Keadilan dan Institusi Kukuh), SDG 2 (Tiada Kelaparan), dan SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi).
Selain itu, SDG 17 (Perkongsian untuk Mencapai Matlamat) yang turut diambil kira sebagai SDG wajib dalam penilaian ini telah dapat dikekalkan oleh USM, dalam kedudukan 10 terbaik dunia.
Lebih membanggakan lagi, USM telah berjaya mengekalkan kedudukan pertama terbaik dunia dalam kategori SDG 16 untuk tiga tahun berturut-turut.
Pencapaian ini menunjukkan dedikasi USM dalam mempromosikan kedamaian, keadilan, dan membangunkan institusi yang kukuh, sekaligus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan yang berwibawa dan berprestij.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyatakan rasa syukur dan bangganya atas pencapaian ini.
Beliau berkata, "Kejayaan ini adalah hasil usaha keras seluruh warga USM yang komited dalam merealisasikan visi universiti untuk menjadi pemimpin dalam pembangunan lestari.”
“Kami akan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi pencapaian ini dan memastikan USM terus berada di barisan hadapan dalam memberikan impak positif kepada masyarakat dan dunia," tambahnya.
Pencapaian USM dalam THE Impact Ranking ini bukan sahaja membanggakan warga universiti, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
Ia membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi di Malaysia mampu bersaing di peringkat global dan menyumbang kepada agenda pembangunan lestari yang memberi manfaat kepada masyarakat sejagat.
Sebagai rekod, sebanyak 2,152 universiti dari 125 negara/rantau dinilai pada tahun ini. Ini adalah peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 26%, berbanding tahun lepas yang mana 1,705 universiti telah dinilai.
161 universiti dalam kategori keseluruhan dari Asia Tenggara telah dinilai pada tahun lepas. Dengan bilangan sebanyak 222 universiti pada tahun ini, telah ada peningkatan sebanyak 38%.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Global Times Higher Education, Phil Baty, mengulas: "Tidak diragukan lagi universiti-universiti di Asia Tenggara adalah antara yang terbaik di dunia dalam mendahului usaha ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari PBB, dengan menduduki dua SDG individu tertinggi.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 792