3KPP24 DAN EKSPEN BANTU TINGKATKAN NILAI KEBOLEHPASARAN PELAJAR
USM PULAU PINANG, 10 Jun 2024 – Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang 2024 (3KPP24) dan Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan baru-baru ini berupaya meningkatkan nilai kebolehpasaran pelajar di masa hadapan.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, penganjuran karnival berkenaan dapat memberi peluang untuk meningkatkan kebolehpasaran para graduan USM, sekaligus membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membangunkan modal insan.
“Jika dilihat dari segi kepesatan ekonomi semasa, graduan kini perlu dilengkapkan dengan kemahiran dan bakat yang sesuai bagi memenuhi pasaran pekerjaan kini.
“Oleh sebab itu, penting untuk para pelajar sedar tentang keperluan ekonomi semasa bagi membuat persiapan rapi dalam pelbagai aspek, dan kesedaran ini perlu digerakkan seawal mungkin,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan 3KPP24 dan EKSPEN di USM di sini yang berlangsung pada 7 Jun yang baru lalu.
Jagdeep berharap program ini dapat memberi peluang kepada para pelajar dan graduan mendapatkan khidmat internship/latihan industri, mengambil pengalaman menghadiri temuduga dan nasihat kerjaya di pameran syarikat yang disediakan.
Selain itu, kata beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, karnival tersebut diadakan bertujuan meningkatkan ekonomi usahawan kecil dan sederhana di sekitar Pulau Pinang.
Sementara itu, sebagai wakil Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat berkata dalam ucapannya, sebagai pelajar USM, penting bagi pelajar untuk bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam pekerjaan.
“Persaingan bagi pekerjaan yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat semakin sengit kerana semakin ramai graduan berada di pasaran.
“Oleh sebab itu, penting untuk para pelajar meningkatkan kemahiran komunikasi dan keterampilan diri serta menjadi individu yang lebih fleksibel dan versatil supaya nilai kebolehpasaran mereka dapat ditingkatkan sejajar dengan keperluan industri,” katanya.
Narimah turut berharap kesemua hadirin akan mengambil kesempatan sepenuhnya daripada program ini untuk mencari pengalaman, serta membina rangkaian yang bernilai untuk masa akan datang.
Turut berucap adalah Pengarah Projek 3KPP24 dan EKSPEN, Muhammad Azfaruddin Tajudin yang berharap agar program ini dapat mendatangkan hasil dan impak yang positif kepada orang ramai.
Azfaruddin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Daerah Timur Laut beserta Perpustakaan Hamzah Sendut 1 USM yang telah bekerjasama untuk menjayakan program 3KPP24 dan EKSPEN ini.
Program EKSPEN ini adalah program tahunan USM yang diadakan dengan tujuan untuk membimbing pelajar khususnya pelajar tahun akhir dan graduan dalam merancang kerjaya, mendapatkan maklumat kerjaya mengikut acuan yang mereka kehendaki dan memperoleh pekerjaan selaras dengan kehendak serta tuntutan pasaran kerjaya semasa.
Program 3KPP24 yang berlangsung selama 2 hari ini (7 hingga 8 Jun 2024) disertai oleh lebih 25 buah syarikat pempamer yang terdiri daripada industri kecil dan sederhana (IKS), agensi awam serta institusi pengajian swasta dengan menawarkan pelbagai peluang kerjaya dan latihan industri kepada mereka yang berkelayakan.
Hadir sama adalah Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Azizah Omar; Naib Yang Dipertua III Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Kabilan Kasevan; pegawai-pegawai utama Universiti; wakil-wakil industri; dan peserta-peserta Pameran EKSPEN 2024.
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 199