USM-KCM METERAI MoU JALIN KERJASAMA TINGKATKAN KEMAHIRAN PERGURUAN
USM PULAU PINANG, 25 Jun 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PT. Kibar Cendekia Muda (KCM) dalam merealisasikan aspirasi untuk mengetengahkan institut perguruan di Kota Bandung.
Sesi penandatanganan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin mewakili Naib Canselor USM, bersama Pengarah KCM, Ir. Reyhanani Bahar, M.Pd.
Shaharum dalam ucapannya berkata USM berharap agar pihak KCM boleh memainkan peranan yang lebih besar hasil daripada MoU yang ditandatangan hari ini.
“Saya percaya bahawa pengalaman USM selama 55 tahun dalam pendidikan tinggi boleh membantu KCM dalam menawarkan pendidikan tinggi yang bertaraf antarabangsa bukan sahaja kepada tenaga pengajar di KCM malah di Indonesia,” katanya lagi.
Sementara itu, Reyhanani memberikan naratif pengenalan mengenai Kota Bandung daripada aspek pendidikan.
Menurutnya, Kota Bandung telah terkenal sebagai sebuah bandar pendidikan di Indonesia yang menempatkan banyak institut perguruan ternama seperti lain Institut Teknologi Bandung (ITB), Universitas Padjadjaran (Unpad), dan Universitas Pendidikan Indonesia selain memiliki banyak sekolah menengah dan sekolah rendah yang berkualiti.
Turut hadir pada sesi penandatanganan tersebut adalah Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman; Penasihat Pemasaran KCM, Dr. Arham Muchtar Bahar; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Ramli Osman serta pegawai-pegawai utama USM dan KCM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 417