USM MARTABAT BUDAYA DAN ADAT TRADISI PULAU PINANG MELALUI PESTA PULAU MUTIARA
USM PULAU PINANG, 22 Jun 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) telah menganjurkan program Pesta Pulau Mutiara 2024 pada malam ini.
Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, USM, program yang berkonsepkan kebudayaan ini bertujuan untuk memartabatkan dan mempromosikan budaya dan adat tradisi rakyat tempatan khususnya negeri Pulau Pinang.
Hadir bagi merasmikan program, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Azizah Omar berkata, program seumpama ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada pelajar USM khususnya anak-anak Pulau Pinang bagi mengangkat keunikan negeri Pulau Pinang yang mempunyai sejarahnya tersendiri.
“Aspek warisan, seni, budaya dan adat tradisi negeri Pulau Pinang ini haruslah dikongsi kepada rakan-rakan dari negeri lain,” jelas Azizah lagi sambil mengingatkan anak-anak Pulau Pinang untuk tidak melupakan budaya tradisi nenek moyang mereka sebaliknya perlu berbangga dan terus memeliharanya.
Azizah turut berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi dan dikekalkan sebagai program tahunan di Universiti Sains Malaysia untuk sidang akademik yang akan datang.
Sementara itu, Pengarah Projek, Nurul Aida Maznim berkata, budaya adalah satu komponen yang indah dan menjadi tunjang kepada pembentukan masyarakat Malaysia.
“Ambillah peluang ini untuk belajar dan menelusuri keindahan budaya kita,” katanya lagi.
Para penonton turut dipersembahkan dengan persembahan tradisional Pulau Pinang seperti Boria Pulau Pinang daripada para ahli GAPP sendiri, Wayang Potehi, Silat Cerita, Ghazal Parti dan banyak lagi.
Turut hadir ialah Penasihat GAPP USM, Profesor Madya Dr. Mohd Sayuti Hassan; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Yang Dipertua GAPP USM, Aiman Fadzly Shahrizal; dan penasihat-penasihat GAPP yang lain.
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 293