TTH 6.0 TEKAN KONSEP SDG: PERKASA MAHASISWA MELALUI PENGASAHAN BAKAT HOLISTIK
USM PULAU PINANG, 19 Jun 2024 - Selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa melalui pengasahan bakat yang holistik, Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah menganjurkan program Train to Humanity (TTH) 6.0: Utopian Night yang mengetengahkan elemen H.E.B.A.T. (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking) yang menjadi fokus utama dalam pembangunan insaniah mahasiswa di USM.
Program ini adalah sebuah program yang membawa mesej penting kepada para mahasiswa/i dengan menekankan konsep Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG yang diperjuangkan pada masa kini untuk kepentingan sejagat.
Tahun ini, SDG 11 iaitu Bandar dan Komuniti Mampan menjadi pilihan utama untuk berbincang mengenai isu-isu yang berkaitan dengan SDG tersebut.
Misi utama SDG 11 adalah untuk "Menjadikan petempatan inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.”
Perasmian program disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam ucapan perasmiannya, Nik Nazmi menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar yang bukan sahaja penting untuk kesejahteraan generasi kini, tetapi juga untuk memastikan warisan alam semula jadi dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“USM merupakan antara institusi yang paling berjaya dan amat menakjubkan dalam usaha mempromosikan kelestarian. Usaha USM bukan sahaja telah menjuarai dalam kelestarian alam sekitar tetapi juga menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mengurangkan impak alam sekitar,” katanya.
Beliau turut memuji USM dalam mengurangkan penggunaan botol mineral plastik di kampus.
Menurutnya, langkah ini adalah satu contoh tindakan proaktif yang dapat mengurangkan sisa plastik dan membantu menjaga kebersihan dan kesihatan alam sekitar dan beliau berharap agar institusi-institusi lain dapat mencontohi usaha USM dalam mengurangkan penggunaan plastik dan memperkenalkan amalan-amalan yang lebih mesra alam.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat mewakili Naib Canselor USM dalam ucapannya berkata, pihak USM amat mendukung baik segala aspirasi yang dibawakan dalam setiap program persatuan pelajar yang menekankan konsep SDG ini.
“Ia juga adalah sebahagian usaha USM dalam merealisasikan penerapan konsep SDG dalam pelbagai sektor dan aspek yang berkaitan dengan kesemua 17 SDG yang ada, demi manfaat mahasiswa/i sekalian,” katanya.
Tambahnya lagi, USM akan terus berusaha untuk menjadi sebuah universiti yang memimpin kelestarian bertaraf dunia dan berharap agar menerusi program ini, para mahasiswa akan sedar bahawa pembangunan bandar yang mampan juga perlulah mengambil kira keadilan sosial kawasan bandar, keperluan sumber manusia asas, kesihatan awam dan kesedaran terhadap persekitaran.
Menurut Pengarah Projek TTH 6.0, Irfan Hakimi berkata, beliau berharap agar semua mahasiswa/i yang menyertai program ini mendapat manfaat yang sewajarnya dan mampu mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan seharian dan kerjaya masing-masing.
Diselitkan dalam program adalah sesi libatsama bersama Nik Nazmi yang bertajuk “Going Green and Path to Environmental Sustainability” dan sesi bual bicara TTH 6.0 yang bertajuk “Extra Ordinary People Impacting Community” oleh Pengarah Korporat Plan Malaysia, TPr Toh Lay See.
Turut dimeriahkan dalam majlis yang sama adalah pertandingan “SDG War” bersama peserta universiti jemputan lain, serta persembahan nyanyian daripada pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-32, Haqiem Rusli.
Hadir sama ialah Pengurus Kumpulan Pemasaran, RHB Islamic Bank Bhd., Zuhelmi Izzudin Kamaruddin; Penggawa Desasiswa Restu, Ts. Dr. Shahrizal Nazri; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Restu USM, Lai Chin Wei dan pegawai-pegawai utama USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 331