USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAMPUS KESIHATAN (STAF) DAN DESASISWA CAHAYA GEMILANG HARAPAN (PELAJAR) JOHAN KESELURUHAN TOT KE-47

USM PULAU PINANG, 2 Jun 2024 – Kontinjen Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya merangkul gelaran Juara bagi kategori Staf apabila mengungguli senarai pingat bagi acara olahraga yang dipertandingkan di Temasya Olahraga Tahunan (TOT) USM kali ke-47 yang melabuhkan tirainya petang ini di Stadium Olahraga USM di kampus Induk.

Kampus Kesihatan USM telah mengumpul sejumlah 30 pingat iaitu 12 Emas, 10 Perak dan 8 Gangsa, diikuti dengan Kampus Induk sebagai naib johan, tempat ketiga Kampus Kejuruteraan dan IPPT di tempat keempat.

Pada masa yang sama, kontinjen ini juga berjaya merangkul gelaran Anugerah Atlet Terbaik Lelaki kategori Staf menerusi Muhammad Asyraf Shamsuddin yang memenangi 4 pingat Emas, sekaligus dipilih sebagai Olahragawan Terbaik kategori Staf.

Dr. Choong Yee Siew dari kampus Induk pula memenangi kategori Olahragawati Terbaik kategori staf dengan pungutan 3 pingat Emas.

Manakala kontinjen Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan (CGH) berjaya merangkul gelaran Juara bagi kategori Pelajar dengan pungutan pingat sebanyak 11 Emas, 3 Perak dan 11 Gangsa.

Hadir bagi merasmikan majlis penutup TOT kali ke-47 adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

Beliau berkata dalam ucapannya, “Saya amat berpuas hati atas usaha dan kerjasama semua pihak dalam memenuhi aspirasi universiti ke arah kecemerlangan pelbagai bidang khasnya pembangunan sukan.”

“Saya berharap agar pengalaman dalam penganjuran kejohanan ini akan dihargai dan dimanfaatkan sebaik mungkin khususnya kepada siswa/siswi serta warga kampus yang lain sekali gus dapat membantu melonjakkan nama USM sebagai institusi penganjuran program sukan terbaik,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau, “Semoga kejayaan dan kecemerlangan Temasya Olahraga Tahunan ini akan berterusan selaras dengan aspirasi USM ke arah melahirkan siswa-siswi berkemahiran berfikir secara objektif, berketerampilan dan memiliki jati diri seperti pahlawan negara kita dalam semua bidang, khasnya sukan.”

Tidak ketinggalan juga ucapan syabas khusus kepada pasukan sorak dan penyokong setiap kontinjen yang sentiasa setia bersama memberi semangat kepada atlet masing-masing bagi setiap acara yang dipertandingkan selama dua hari di Stadium Olahraga Kampus Induk USM.

Tetamu kenamaan yang turut hadir adalah Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Professor Dr. Hairul Anuar Hashim; Pengerusi Majlis Penggawa USM, Zulkifli Che Hussin; Ketua Unit Bahagian Pembudayaan dan Kecemerlangan Sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Hafezi Mat Zain; Pengerusi Jawatankuasa Pengelola TOT ke-47 USM, Irna Farisha Abdullah; dan pegawai-pegawai utama universiti.

Untuk rekod, lebih 500 atlet daripada empat belas (14) kontinjen yang melibatkan warga USM, iaitu 10 kontinjen pelajar daripada wakil desasiswa dan buat kali pertama penyertaan juga dibuka kepada kontinjen staf dari Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan, dan IPPT/Pusat Perubatan USM Bertam.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Tan Ewe Hoe 

  • Created on .
  • Hits: 145

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024