USM SAMBUT AIDILADHA HAYATI NILAI PENGORBANAN SECARA BERMASYARAKAT
USM PULAU PINANG, 17 Jun 2024 – Seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM), kariah dan masyarakat setempat hari ini merayakan Hari Raya Aidiladha dengan nikmat kesyukuran dan secara bermasyarakat demi mendalami erti pengorbanan yang utuh sesama insan.
Suasana Masjid Al-Malik Khalid USM penuh warna warni dan dihadiri ramai umat Islam seawal jam 7.30 pagi untuk bersama-sama bersolat sunat Aidiladha.
Menariknya, pada tahun ini Yayasan TYT Pulau Pinang telah menyumbang sebanyak 2 ekor lembu manakala pihak RHB menyumbang seekor lembu yang menjadikan jumlah haiwan korban sebanyak 20 ekor lembu dan 16 ekor kambing.
Terdahulu, suasana hari ini bermula dengan solat sunat Aidiladha yang dihadiri lebih 2,000 jemaah warga USM, ahli kariah, orang awam dan pelajar antarabangsa USM yang menambahkan lagi suasana kemeriahan dalam semangat kekeluargaan sambutan perayaan tahun ini.
Solat sunat Aidiladha diimamkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zahari manakala khutbah pula disampaikan oleh Ustaz Mohd Fakrur Amirul Mohamad Rodzi yang menekankan tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta nilai-nilai pengorbanan di dalam kehidupan kita sebagai umat.
Pada tahun ini, jumlah petugas untuk ibadah korban seramai hampir 100 orang meliputi ahli kariah dan warga USM.
Umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari ini (17 Jun), bersamaan dengan 10 Zulhijah 1445 Hijrah.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 205