USM-YAYASAN HASANAH BANTU PERKASA CALON SPM MELALUI PENDIDIKAN HOLISTIK
USM PULAU PINANG, 13 Jun 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) dengan kerjasama Yayasan Hasanah hari ini telah mengadakan Majlis Kick Off DayaJaya SPM dibawah program pembangunan pendidikan, DayaJaya SPM: Program Pemberdayaan SPM bagi Calon Kumpulan B40.
Fokus utama program ini adalah untuk meningkatkan dan memperkasakan pelajar dalam program akademik melalui pendidikan holistik bagi mencapai kecemerlangan pendidikan di samping menyeimbangkan jurang taraf sosial masyarakat.
Intervensi ini telah direncanakan untuk memberi manfaat kepada 450 pelajar dari 15 buah sekolah di sekitar Pulau Pinang selama 27 bulan pelaksanaannya bermula dari pelajar di Tingkatan 4 sehingga menduduki peperiksaan SPM 2025 dan seterusnya pemilihan laluan kerjaya.
Berlangsung di Auditorium Dewan Budaya, program ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya menitipkan kata-kata semangat agar para pelajar berusaha bersungguh-sungguh dan gigih demi mencapai kejayaan serta mengekalkan keputusan yang diperoleh untuk peperiksaan akan datang.
Abdul Rahman juga menekankan bahawa USM komited dalam memberi tumpuan kepada pemerkasaan golongan keterbawah dengan mencipta impak positif dalam usaha mengurangkan jurang sosial dalam masyarakat setempat dengan meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka.
“Kita sebagai ibu bapa, guru, institusi pendidikan dan juga USM sendiri perlulah bersama-sama memastikan bahawa segala usaha yang telah dilakukan membuahkan hasil demi masa depan anak-anak kita,” tegasnya lagi.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan kerjasama, pusat-pusat pengajian yang terlibat serta pusat tanggungjawab USM yang terlibat dalam menjayakan program motivasi kepada pelajar program DayaJaya SPM sebagai pendedahan awal realiti alam kampus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pendidikan, Yayasan Hasanah, Dr. Nur Anuar Abdul Muthalib berharap program ini dapat menjadi piala kejayaan dalam usaha kita untuk memperkasakan pelajar B40, serta membawa impak positif kepada pembangunan pendidikan negara.
Diselitkan dalam program adalah penyerahan mock up Kad Sim CelcomDigi kepada USM dan penyerahan Tablet Pendidikan dan Sijil Lantikan Sekolah kepada pengetua-pengetua sekolah yang terpilih.
Dalam program yang sama diselitkan juga sesi perkongsian Alumni Program DayaJaya SPM, oleh Danish Iman Zaili yang menceritakan pengalaman beliau sepanjang mengikuti program MANTAP SPM, seterusnya berkongsi impak dan kejayaan yang dirangkul khususnya dalam peperiksaan SPM, untuk dijadikan inspirasi dan pembakar semangat kepada semua pelajar khususnya peserta program DayaJaya SPM untuk melakar kecemerlangan dalam SPM.
Program yang dirangka ini merupakan terjemahan hasil penyelidikan universiti, inovasi cendiakawan dan pemindahan ilmu yang menjadi hasil yang berkesan dan bermakna kepada masyarakat.
Melalui program ini juga, para pelajar akan didedahkan kepada pendigitalan pendidikan melalui pemerkasaan penggunaan teknologi digital dalam PdP iaitu penggunaan tablet semasa kelas bimbingan dijalankan serta disokong oleh pelan data tanpa had oleh CelcomDigi Berhad sepanjang tempoh pelaksanaan program.
Selain itu, DayaJaya SPM juga mempraktikkan konsep coaches-coachees yang terdiri daripada mahasiswa/i USM melalui bimbingan dalam kumpulan kecil dan berfokus dengan bilangan pelajar 10 hingga 13 setiap kumpulan.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Sains Sosial, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Hairol Amin Salim; Pengurus Akaun Negeri, Sektor Awam dan Korporat, CelcomDigi Berhad, Muhammad Nurhafiz Mohd Noor dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 676