USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LANCAR 2 BUAH BUKU MELALUI IMPRIN USM POPULAR DI PBAKL 2024

KUALA LUMPUR, 1 Jun 2024 – Buku Pollyanna dan Cinta Tanpa Syarat merupakan antara judul terbaru terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) yang menemui pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

 WhatsApp Image 2024 06 04 at 10.12.47 AM   WhatsApp Image 2024 06 04 at 10.09.19 AM 

Penglibatan Penerbit USM melalui imprin USM Popular di PBAKL 2024 baru-baru ini tertumpu pada pelancaran buku Cinta Tanpa Syarat (CTS) tulisan Pakar Mata dan Perunding Motivasi yang tidak asing di Malaysia, Datuk Profesor Dr. Muhaya Hj. Mohamad, dan buku Pollyanna karya terjemahan Irni Fazrita Farid.

Kedua-dua sesi itu dihoskan oleh Dr. Muhammad Latiffi Mahadzir dari Bahagian Penerbitan Popular (BPP) Penerbit USM.

Majlis Pelancaran Buku CTS yang berlangsung pada 31 Mei 2024 di Pentas Utama PBAKL 2024 telah dibanjiri oleh para pengunjung yang teruja dengan kehadiran Profesor Muhaya yang turut beramah mesra bersama pengunjung dalam sesi Meet & Greet di reruai Emdash Bookstore Penerbit USM.

Turut hadir adalah Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Datin Paduka Hajah Mastura Hj. Muhamad; dan Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron.

Buku CTS mengandungi tujuh siri yang sangat menarik dan perlu dimiliki dan dibaca oleh semua.

Sementara itu, buku Pollyanna yang juga merupakan karya terjemahan kedua di bawah imprin USM Popular turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung PBAKL 2024.

Pollyanna merupakan karya klasik kanak-kanak yang ditulis oleh Eleanor H. Porter dalam bahasa Inggeris. Buku ini diterjemahkan oleh Irni Fazrita Farid daripada sumber asal dalam bahasa Inggeris yang telah berusia 111 tahun.

WhatsApp Image 2024 06 04 at 10.09.20 AM 1

Majlis Pelancaran Buku Pollyanna telah disempurnakan oleh Irni Fazrita Farid pada 1 Jun 2024 di Pentas Dunia Buku Aras 4, WTC Kuala Lumpur. 

Beliau juga turut berkongsi pengalaman peribadi dengan para pengunjung tentang cabaran yang dihadapi semasa melakukan kerja-kerja penterjemahan dan menyingkap sepintas lalu watak kanak-kanak yang bernama Pollyanna. Ia merupakan sebuah karya klasik yang sangat sesuai untuk bacaan kanak-kanak.

Delegasi Penerbit USM ke PBAKL 2024 telah diketuai oleh Pengarah Penerbit USM, Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun dengan penglibatan penyertaan staf Bahagian Penerbitan Popular, Bahagian Pemasaran dan Bahagian Pentadbiran.

Menurutnya, buat julung kalinya Penerbit IPT telah menerbitkan karya Profesor Muhaya, yang merupakan seorang doktor dan pakar motivasi yang terkenal di Malaysia.

“Selain terlibat secara langsung dengan PBAKL 2024, Penerbit USM juga memanfaatkan peluang ini untuk menjalinkan kerjasama penerbitan dengan pihak dalam dan luar negara, khususnya melalui forum ASEAN Rights Fair 2024 yang berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2024.

WhatsApp Image 2024 06 04 at 10.10.48 AM

“Sebagai contoh kerjasama dengan Universiti Fathoni Thailand, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Akademi Jawi Negara, lawatan kerja ke Ultimate Print Sdn. Bhd. dan beberapa penulis yang berpotensi," katanya.

Menurut Ketua Bahagian USM Popular, Mohd Yusri Kamaruddin, imprin USM Popular yang baru ditubuhkan tiga tahun yang lalu memiliki proses penerbitan dan corak kerja yang sangat berbeza berbanding proses menangani buku-buku penyelidikan dan akademik.

Tambahnya proses pemilihan projek penerbitan dan membangunkan sesebuah manuskrip bersama penulis daripada peringkat awal lagi merupakan suatu bidang yang memberikan pengalaman yang sangat berbeza, namun sangat efektif dan pantas bagi menghasilkan karya yang berkualiti.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Jannatun Hidayah Umar, commissioning editor buku Pollyanna dan CTS yang telah bekerja keras bagi memastikan kedua-dua judul ini dapat menemui pengunjung PBAKL 2024.

Buku-buku terbitan Penerbit USM boleh diperolehi secara dalam talian di laman sesawang Emdash, http://www.emdash.my atau dengan berkunjung ke kedai buku Emdash yang terletak di Bangunan Canselori II, bersebelahan Dewan Budaya USM.

Teks & Foto: Dr. Nazrul Hassan, Penerbit USM/Suntingan: MPRC USM

  • Created on .
  • Hits: 319

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024