USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FFAM2024 MELABUHKAN TIRAI, USM RANGKUL GELARAN JOHAN

USM PULAU PINANG, 11 Jun 2024 – Karya Produksi STDK dari Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia telah muncul sebagai Johan keseluruhan Festival Filem Anak Muda 2024 (FFAM) bagi filem pendek bertajuk ‘Sora’ di Malam Anugerah FFAM 2024 baru-baru ini yang mana anugerah ini adalah untuk meraikan penyertaan karya-karya filem pendek yang telah dihasilkan anjuran Sekretariat Protégé USM.

WhatsApp Image 2024 06 14 at 16.57.38

Berlangsung di Auditorium Dewan Budaya USM, program ini bertujuan untuk mengasah bakat serta memberikan ruang kepada anak-anak muda dalam mengetengahkan kemahiran mereka dalam bidang perfileman dan pengarahan.

Selain itu, Produksi STDK turut meraih Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik yang disandang oleh Rico Hutagaol dan Pelakon Wanita Terbaik yang dilakonkan oleh Angelene Joanne.

Kemenangan ini telah melayakkan pemenang Johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 bersama piala iringan dan sijil penghargaan.

Bertemakan ‘Manusiawi: Tanda Manusia Punya Hati’, program ini bertujuan untuk meraikan penghasilan bakat dalam penghasilan karya filem pendek untuk mengasah bakat serta memberikan ruang kepada anak-anak muda demi mengetengahkan kemahiran mereka dalam bidang perfileman dan pengarahan.

Naib Johan FFAM 2024 telah dimenangi oleh Artison Produksi daripada ASWARA dan kumpulan produksi ini turut memenangi Anugerah Skrip Terbaik melalui tajuk filem ‘Bukan Salahku’.

Sementara itu, Tempat Ketiga telah dimenangi oleh Mrapu Production daripada USM dan turut memenangi anugerah kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang dilakonkan oleh Aedy Zulkifli dari Pusat Pengajian Komunikasi USM melalui filem pendek yang sama bertajuk ‘Tinggi’.

Acara yang gilang-gemilang itu turut menampilkan persembahan menarik daripada kumpulan pemuzik dari Dewan Budaya, diserikan dengan alunan suara Andy Siti Nurhidayah Rahim, Hazrezan Musli, pemuisi Syahmi Odd bersama ahli Sekretariat Protégé yang lain.

Lebih 400 penonton membanjiri dewan dan mengalami kemeriahan malam anugerah tersebut.

Hadir sama menyerikan majlis pada malam ini adalah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari; Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli; Ketua Juri FFAM 2024, Ghaz Abu Bakar; Ketua Pemasaran Canon Marketing Malaysia, Melvin Lo; Ketua Cawangan Canon Pulau Pinang, Canon Marketing Malaysia, Daren Tan; Pegawai Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, mewakili Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Murshid Md Hussain; Penasihat Sekretariat Protege USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Naib Yang Dipertua 1 Sekretariat Protege merangkap Pengarah Program FFAM 2024, Ain Nurhana Hakimi; pegawai-pegawai utama USM, serta juri-juri jemputan yang terdiri daripada pengarah dan penerbit terkenal Malaysia seperti Ghaz Abu Bakar sebagai Ketua Juri, dan juri-juri lain seperti Khir Rahman dan Vanidah Imran. Selain itu, turut memeriahkan program tersebut adalah Panel Jemputan seperti Syed Hussein Syed Mustafa Al-Qudsy atau dikenali sebagai Sein Qudsi, Sabri Yunus dan A.Wahab Hamzah.

FFAM 2024 telah masuk tahun ketiga penganjurannya yang disertai oleh para mahasiswa/i daripada 13 buah institusi pengajian tinggi (IPT), yang mana sebanyak 34 penyertaan diterima untuk bertanding bagi merebut kejuaraan pertandingan ini.

Program seperti ini telah membuka ruang dan peluang kepada bakat baru dalam kalangan anak muda untuk berkarya dan menterjemahkan secara praktikal apa yang dipelajari secara teoretikal.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Sekretariat Protege

  • Created on .
  • Hits: 201

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024