LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE USM, TINJAU PEMBANGUNAN DAN PERKEMBANGAN PELAJAR
USM PULAU PINANG, 11 JUN 2024 - Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud hari ini mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melihat dan meninjau perkembangan semasa pelajar khususnya anak-anak Sabah dan Sarawak.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut meluangkan masa beramah-mesra bersama ahli-ahli majlis tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) dan Perkumpulan Anak-anak Sarawak (PERKASA) di The Bricks, USM.
Para pelajar yang menyertai pertemuan santai berkenaan turut mengambil kesempatan membentangkan program-program yang telah dijalankan serta inisiatif-inisiatif persatuan yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2024.
Mustapha Sakmud dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada USM kerana mengaturkan pertemuan ringkas namun bermakna itu dan menyifatkan ia satu ruang yang baik untuk berdiskusi dalam pelbagai hal pemerkasaan pelajar.
“Saya sentiasa mengambil kesempatan untuk bertemu dan melihat sendiri pembangunan anak-anak Sabah dan Sarawak dalam mengemudi kepimpinan di Universiti,” jelas beliau.
Beliau turut berharap kerjasama rapat di antara MPP, PERKASA dan PERSIS sentiasa diperkasakan dan turut menggalakkan apa jua program yang dianjurkan dapat dijayakan secara bersama, seterusnya dapat mencorak masa depan pendidikan negara yang bersifat inklusif.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, USM adalah institusi pendidikan yang meraikan kepelbagaian dan sentiasa komited dalam menjayakan agenda pemerkasaan para pelajarnya.
“USM melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) juga sentiasa menyokong program-program yang diadakan oleh anak-anak Sabah dan Sarawak sepanjang pengajian mereka di USM,” katanya.
Hadir sama ke sesi itu ialah Timbalan Naib Canselor HEPA, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Mohammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman, Pegawai-pegawai utama KPT serta Universiti dan sebagainya.
- Created on .
- Hits: 318