KEMBALI PADA ASAS-PENGERUSI LGU
PULAU PINANG, 2 Jun 2015 - Menguruskan sebuah universiti bukan satu tugas mudah, justeru prinsip asas perlu dipegang kukuh supaya ia selari dengan matlamat jangka panjang dan kekal relevan.
Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan berkata, visi dan misi universiti perlu jelas dan merangkumi rasa kepunyaan dalam kalangan warganya di semua peringkat.
Katanya, visi dan misi universiti perlu jelas dan kekal untuk satu tempoh jangka masa panjang.
"Universiti adalah sebuah institusi dan ia membawa makna yang cukup besar. Kita mungkin akan meninggalkan institusi namun institusi akan kekal sampai bila-bila.
"Justeru matlamat dan perancangan strategik perlu kembali kepada asas yang boleh difahami dan dijayakan oleh setiap dari warganya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas program perbincangan khas sempena USM Board of Governors Retreat di sini semalam.
Hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, timbalan-timbalan naib canselor, USM Leading Thinkers dan pegawai-pegawai utama universiti.
Zulkefli juga berkata, pengurusan sebuah institusi ilmu tidak boleh dilakukan secara bersendirian tanpa penglibatan semua pemegang taruh.
"Universiti berdiri bersama-sama komuniti dan perlu juga seiring dengan industri yang juga memberi kesan dalam persekitaran yang ada," ujar beliau.
Tambahnya lagi, dengan perkembangan semasa yang menuntut institusi keilmuan untuk kekal berdaya saing dalam persaingan yang cukup luas, Universiti perlu memainkan peranannya secara konsisten.
"Kita perlu melihat jauh ke hadapan untuk mencongak senario dan meletakkan institusi selari dengan keadaan semasa untuk memastikan ia kekal relevan," katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 880