USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERIMA KASIH PMX: PELAJAR USM TERUJA TERIMA BAS BAHARU

USM PULAU PINANG, 7 Jun 2024 – Para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan rasa teruja menerima bas baharu yang disifatkan sangat membantu dalam memudahkan mobiliti mereka dan memperkasa perkhidmatan bas sedia ada.

WhatsApp Image 2024 06 07 at 10.35.01

Bas baharu yang secara rasminya diserahkan kepada USM itu adalah hasil cetusan idea pelajar semasa sesi pertemuan bersama Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Program Temu Anwar di USM pada 11 Jun tahun lalu.

Semasa program Temu Anwar@USM Pulau Pinang, wakil pelajar telah mengutarakan keperluan terhadap bas baharu universiti di kesemua kampus dalam memudahkan mobiliti pelajar serta juga sebagai langkah penggantian ke atas bas-bas sedia ada yang telah melangkau usia penggunaan 15 tahun.

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, inisiatif menyediakan bas baharu itu telah menjadi keutamaan universiti dan bertujuan untuk mengoptimumkan operasi bas dengan menggantikan bas sedia ada di USM yang usianya melebihi 15 tahun.

WhatsApp Image 2024 06 07 at 10.34.59

“Perkhidmatan bas sudah menjadi pengangkutan awam sejak bertahun lamanya, dan bas juga menjadi pengangkutan utama di universiti yang sering diguna pakai oleh pelajar untuk melakukan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

“Selain itu, dengan peningkatan tahap guna trafik yang tinggi dalam kampus terutamanya di waktu puncak, Universiti meletakkan fokus untuk mengurangkan tahap kebergantungan pelajar kepada kenderaan-kenderaan persendirian,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian dan penyerahan bas bernombor pendaftaran USM 5550 kepada USM di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, pegawai-pegawai kanan Universiti dan para pelajar USM termasuk pelajar antarabangsa.

Tambah Awang Adek lagi, inisiatif itu juga turut menggalakkan penggunaan pengangkutan bas sedia ada dengan memastikan perkhidmatan yang menjadi nadi mobiliti pelajar itu mudah dicapai dan selamat untuk digunakan.

Dalam pada itu, rata-rata pelajar menyuarakan rasa teruja dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kesudian beliau untuk mendengar dan menyokong usaha pelajar.

WhatsApp Image 2024 06 07 at 10.38.12

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM Sidang Akademik 2023/2024, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman berkata, sokongan PMX tidak hanya memberi inspirasi tetapi juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam mendukung inisiatif yang dipelopori oleh pelajar.

“Kami turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan USM yang telah berusaha gigih dalam memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar.

Pelancaran bas baharu ini adalah simbol perpaduan dan kerjasama antara pelajar, universiti, dan kerajaan,” katanya.

Tambah Nazmi, kerjasama semua pihak dalam merealisasikan hasrat mahasiswa itu berlandaskan kepada nilai-nilai kepimpinan, tanggungjawab, dan komitmen adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan di kampus.

“Dengan adanya bas baharu ini, kami yakin ia akan memberikan impak positif terhadap mobiliti pelajar, mengurangkan kesesakan lalu lintas, menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan projek yang bermanfaat pada masa hadapan,” ujarnya lanjut.

USM akan meneruskan usaha penyediaan bas baharu di dua lagi kampus iaitu Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan. Dengan mengambil kira semua proses berjalan lancar, tarikh penghantaran bas dijangka pada Disember 2024 atau Januari 2025.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 450

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024