FFAM2024 TERUS ASAH BAKAT ANAK MUDA DALAM DUNIA PERFILEMAN
USM PULAU PINANG, 6 Jun 2024 - Kini telah masuk tahun ketiga Festival Filem Anak Muda (FFAM) diadakan, yang dianjurkan oleh Sekretariat Protégé Universiti Sains Malaysia (USM). Ia adalah sebuah program pertandingan filem pendek antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia.
Dengan tema ‘Manusiawi: Tanda Manusia Punya Hati’, program ini bertujuan untuk meraikan penghasilan bakat dalam penghasilan karya filem pendek untuk mengasah bakat serta memberikan ruang kepada anak-anak muda demi mengetengahkan kemahiran mereka dalam bidang perfileman dan pengarahan, selain meningkatkan teknik untuk menilai, memilih, membentuk dan menjana idea, konsep dan pemahaman yang konkrit berdasarkan tema yang diberikan untuk digarap dalam bentuk filem yang diterbitkan.
Majlis perasmian FFAM 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat.
Menurut Narimah, program seperti ini merupakan satu platform yang sempurna bagi semua peserta yang bertanding dalam mengekpresikan dan menonjolkan idea serta kreativiti masing-masing melalui penceritaan kisah tersendiri.
“Yakin dan percayalah bahawa anda merupakan pelapis yang bakal mencorak masa depan industri kreatif perfileman tempatan pada masa akan datang, dan buktikan bahawa anda merupakan permata yang berharga,” katanya.
Harapan Narimah adalah melalui program seperti ini, kreativiti industri perfileman khususnya perjuangan anak-anak muda agar terus berkarya dapat dipergiatkan dan beliau percaya, dengan adanya acara festival filem sebegini, bakat-bakat anak muda dapat diasah dan diangkat.
“Mungkin ada dalam kalangan peserta-peserta ini bakal menjadi salah seorang pengarah filem yang dikenali dunia suatu hari nanti kerana mempunyai bakat yang hebat,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Projek FFAM 2024, Ain Nurhana Hakimi Hamdan berkata, dengan adanya penganjuran program seperti ini, para peserta dapat menimba ilmu, mencari pengalaman dan membina jati diri melalui penghasilan karya perfileman agar di masa akan datang, industri perfileman di Malaysia dapat menjadi setanding dengan negara luar ke arah penghasilan karya yang berkualiti tinggi.
“Saya berharap agar Festival Filem Anak Muda ini dapat menjadi platform dalam mencungkil dan menggilap setiap kelebihan dan juga kreativiti yang merangkumi aspek pembuatan filem dan yang berkaitan dengannya dalam kalangan pelajar IPT di Malaysia. Majulah Filem Untuk Anak Muda!
FFAM 2024 akan berlangsung selama tiga hari, bermula dari 6 sehingga 8 Jun 2024. Ia akan mempertontonkan tayangan filem-filem pendek dan Malam Anugerah FFAM 2024.
Pada tahun ini, program ini telah mendapat sambutan dengan penglibatan daripada 12 buah IPT dalam negara, yang terdiri daripada Universiti Teknologi Mara Puncak Perdana (UiTM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Politenik Tuanku Syed Sirajuddin; ASWARA Malaysia; Kolej Profesional Mara Indera Makhkota (KPMIM); Kolej Profesional Mara Seri Iskandar (KPMSI) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau (KKTM).
Acara yang gilang gemilang ini juga dimeriahkan dengan kehadiran artis tanah air Malaysia sebagai juri dan panel jemputan iaitu Vanidah Imran, Khir Rahman dan Sein Qudsi serta persembahan nyanyian daripada para pelajar yang berbakat.
Hadir sama pada majlis perasmian adalah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azizah Omar; Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli; Ketua Juri FFAM 2024, Mohd Ghazali Abu Bakar; Ketua Pemasaran Canon Marketing Malaysia, Melvin Lo; Ketua Cawangan Canon Pulau Pinang, Canon Marketing Malaysia, Daren Tan; Penasihat Sekretariat Protege USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim; dekan-dekan dan pegawai-pegawai utama USM, para penaja serta juri-juri jemputan.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 414