USM-MCMC METERAI PERSEFAHAMAN, BANGUNKAN PLATFORM PENYELIDIKAN TELEKOMUNIKASI DAN PENDIGITALAN NEGARA
USM PULAU PINANG, 5 Jun 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usaha pemerkasaan teknologi telekomunikasi dan pendigitalan negara dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pemeteraian kerjasama antara kedua-dua buah agensi ini dilihat memperkukuhkan usaha penyelidikan, pemindahan pengetahuan, dan pemerkasaan bakat dalam bidang telekomunikasi dan digital, dengan matlamat utama membentuk generasi masa hadapan yang lebih cemerlang dan bersedia berhadapan dengan keadaan sosio-ekonomi yang kompleks dan sentiasa berubah.
Kerjasama dua hala ini diterajui oleh tiga buah pusat pengajian di USM iaitu Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Pusat Pengajian Sains Komputer dengan Bahagian Geospatial dan Pengurusan Data, MCMC bagi membangun, menyokong dan memperkayakan program penyelidikan, pendidikan dan latihan dalam bidang berkaitan yang akan memberi manfaat kepada teknologi telekomunikasi dan digital negara.
Pada majlis penandatanganan tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kerjasama ini amat signifikan kepada proses meningkatkan keupayaan teknologi telekomunikasi dan digital negara melalui penggunaan teknologi terkini dan pada masa yang sama mampu memelihara tatacara dan budaya seiring dengan teknologi semasa.
“Terima kasih kepada MCMC kerana memberikan kepercayaan kepada USM dalam mengemudi penyelidikan tersebut, ini kerana kekuatan dan kepakaran USM bukan sahaja kepada aspek sains dan teknologi, tetapi juga adanya kehebatan dalam Sastera dan Kemanusiaan yang membawa kepada keseimbangan kepada pembangunan teknologi negara,” ucap beliau ketika menghadiri majlis penandatanganan MoU antara USM dengan MCMC di VIP Lounge, Aras 6, Bangunan Canselori 1, USM.
Tambah beliau, beberapa dasar telah dan akan dirangka oleh USM dan MCMC yang melibatkan penyelidikan, perundingan, pemerkasaan bakat dan kemahiran, serta meliputi kedua-dua bidang yang lebih bersifat multidisiplin atau transdisiplin.
Abdul Rahman turut berharap pelajar USM yang terlibat dengan program dan karnival yang disediakan oleh MCMC ini akan mendapat manfaat, bukan sahaja untuk mengenali MCMC dengan lebih baik tetapi membuka minda terhadap isu-isu terkini berkaitan telekomunikasi dan pendigitalan.
Selain itu di majlis yang sama, Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, MCMC amat menghargai USM kerana menyambut baik pelaksanaan kolaborasi ini dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara MCMC dan USM.
“Saya yakin dengan kerjasama ini, ia dapat mempergiatkan lagi usaha sama dalam menyediakan peluang kerjaya dan penempatan para pelajar serta kakitangan, menganjurkan program akademik bersama, menganjurkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama, dan menganjurkan program bengkel dan latihan bersama,” kata beliau.
Tambah beliau, USM dan MCMC yang sebelum ini telah menjalinkan beberapa kerjasama sebelum tercetusnya pemeteraian rasmi ini melibatkan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat telah bekerjasama dengan pihak MCMC dalam program Capacity Development Conference (CDC) 2023 pada 11-12 Oktober 2023 sebagai moderator sesi panelis.
“MCMC juga telah menyokong USM dalam beberapa sesi program perkongsian ilmu menerusi platfom atas talian (webinar) antaranya topik berkenaan ‘Geographic Information System for Disaster Risk Reduction Webinar’ dan ‘Scam Awareness Webinar’ yang telah diadakan pada awal tahun ini,” jelas Zulkarnain lagi.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Ketua Sektor Teknologi dan Inovasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Shamsul Izhan Abdul Majid; Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan dan Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender USM, Profesor Dr. Saidatulakmal Mohd.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 351