USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RINTIS 2024 BAWA KELAINAN GABUNG TIGA BAHAGIAN PENGAJIAN SENI

USM PULAU PINANG, 5 Jun 2024 - Pusat Pengajian Seni (SOTA) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah menganjurkan Majlis Perasmian RINTIS 2024. Ia adalah sebuah Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir di SOTA USM yang membawa kelainan pada tahun ini, di mana adanya gabungan tiga bahagian pengajian iaitu Seni Muzik, Lakonan dan Pengarahan serta Seni Halus.

WhatsApp Image 2024 06 05 at 12.10.21 1

Majlis Perasmian RINTIS pada tahun ini juga turut meraikan sesi Perkongsian bersama Industrial Community Advisory Panel (ICAP) dan Felo Industri, yang mana sesi ini juga merupakan sebuah platform dalam mengukuhkan hubungan antara akademia dan industri yang sejajar dengan aspirasi USM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga kompeten dan relevan dalam industri seni.

Hadir bagi merasmikan program ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran.

Azlan Amran dalam ucapan perasmiannya berkata, melalui enam persembahan teater dan satu pameran seni halus yang diadakan di sekitar USM, kita dapat melihat tahap kemahiran profesional para pelajar USM dalam pelbagai bidang seperti lakonan, pengarahan, penulisan skrip, sinografi, seni catan, arca, seni cetakan, fotografi, koir, dan kemahiran piano atau keyboard.

“Kemahiran-kemahiran ini adalah hasil daripada proses pembelajaran yang intensif dan kolaborasi dengan industri, yang membolehkan para pelajar melihat dan membuat perbandingan hasil kreatif mereka dengan standard industri.

“Keterlibatan industri dalam pembelajaran dan pengajaran adalah penting untuk memastikan bahawa hasil karya pelajar kita memenuhi keperluan pasaran,” kata Azlan.

Menurut Pengarah Projek RINTIS 2024, Daniel Ikmal Mohd Khairi, objektif RINTIS pada tahun ini adalah bertujuan untuk menyediakan para pelajar dengan pengalaman ‘first-hand’ dalam menghadapi penilaian profesional daripada pensyarah, komuniti dan lain-lain yang berkaitan dengan bidang mereka.

“Saya amat menyokong program RINTIS untuk diteruskan pada setiap tahun untuk menjadikan SOTA USM sebagai sebuah pusat pengajian yang dinamik di USM, dalam memupuk hubungan yang baik dalam kalangan para pelajar dan pensyarah,” kata Daniel.

Hadir sama adalah Dekan SOTA USM, Profesor Madya Dr. Sarena Abdullah; Pegawai Perhubungan, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang, Mohd Wazir M Bakri; Eksekutif Projek, Penang Art District, Kenny Ng; Penerbit Artistik, MyPenang Creative, Ilya Rusaidi dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 359

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024