USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, SILTERRA MALAYSIA SDN. BHD. METERAI PERJANJIAN KERJASAMA BAGI PEMBAHARUAN PROGRAM MPW

WhatsApp Image 2024 06 04 at 11.14.51 AM

USM PULAU PINANG, 4 Jun 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) telah menandatangani Perjanjian Kerjasama (CA) dengan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. sebagai pembaharuan perjanjian bagi program usahasama ‘Multi Project Wafer’ (MPW).

USM telah bekerjasama dengan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. sejak tahun 2006 lagi, yang mana USM telah menandatangani Perjanjian Program Kerjasama pada 2006, Perjanjian Pengkomersilan pada 2010 dan seterusnya Perjanjian Kerjasama pada 2016 dan 2021.

Dalam tempoh tersebut, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dan berkembang sehingga dapat menghasilkan prototaip dan seterusnya ke arah pengkomersialan produk.

WhatsApp Image 2024 06 04 at 11.14.50 AM1   WhatsApp Image 2024 06 04 at 11.14.50 AM

Menandatangani bagi pihak USM ialah Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed manakala SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. telah diwakili oleh Naib Presiden, Teknologi Baharu, Thung Beng Joo, yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SilTerra.

Abdul Rahman menyatakan bahawa kerjasama ini telah memberi akses kepada komuniti pereka bentuk litar bersepadu tempatan negara terhadap proses teknologi semasa untuk pembuatan prototaip pada kos yang berpatutan.

“Saya yakin melalui kerjasama ini, bidang rekabentuk mikroelektronik bakal menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara,” jelas beliau lagi.

Katanya, “Kita bukan sahaja dapat menghasilkan produk, tetapi juga bakat-bakat pereka bentuk litar bersepadu dalam negara yang menjadi asas kepada penghasilan peranti elektronik masa kini.”

Menurutnya juga, jaringan bersama Silterra telah melengkapkan ekosistem mikroelektronik iaitu dari rekabentuk, pengesahan, fabrikasi, ujian dan pengukuran serta mempakej seterusnya menjadikan CEDEC khususnya dan USM amnya sebagai antara pusat rujukan serantau yang terulung dalam bidang mikroelektronik.

WhatsApp Image 2024 06 04 at 11.14.51 AM1

Manakala Thung menyatakan bahawa sebagai industri utama dalam pasaran perkhidmatan faundri semikonduktor, SilTerra merasakan bahawa untuk menambah baik kumpulan bakat, ada keperluan untuk mereka menyumbang kepada pembangunan dan penyelenggaraan ekosistem menggunakan sumber yang dimiliki oleh faundri mereka.

“SilTerra bukan sahaja menghasilkan inovasi teknologi tetapi juga bakat yang relevan untuk industri semikonduktor, Oleh itu, pihak kami secara agresif mencari cara untuk memupuk kerjasama industri dengan institusi pengajian tinggi berdekatan bagi memacu pertumbuhan industri di negara ini,” jelas beliau lagi.

Antara pencapaian yang telah diperoleh melalui jalinan kerjasama USM-SilTerra adalah:

  • Penghasilan lebih 57 unit Harta Intelek termasuk Perlesenan Pengetahuan Teknologi, Paten dan Hak Cipta.
  • Penghasilan lebih 57 cip rekabentuk analog, frekuensi radio (RF) dan digital.
  • Kerjasama antarabangsa telah dimeterai bersama universiti dan industri dari beberapa buah negara seperti Jepun, Thailand, Kazakhstan dan India.
  • Lebih dua belas (12) universiti tempatan terdiri daripada IPTA dan IPTS telah mengambil bahagian dalam fabrikasi cip bermula dari tahun 2006 hingga sekarang. Diharapkan pada masa hadapan, universiti-universiti lain akan mengikut jejak langkah yang sama.
  • USM dan SILTERRA telah bekerjasama untuk proses fabrikasi dengan sembilan (9) syarikat tempatan melalui Perjanjian Kerjasama dan telah berjaya mencungkil ramai bakat baharu dalam penghasilan rekabentuk litar bersepadu.

Hadir sebagai saksi ialah Pengarah CEDEC, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf dan Pengarah Kanan, Komunikasi Korporat EHS & ESG, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd., Tahiruddin Hamdan.

WhatsApp Image 2024 06 04 at 11.14.53 AM

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 329

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024