GERIS SUMAYAU USM NAIB JOHAN MCB 16
USM PULAU PINANG, 1 Jun 2024 – Geris Sumayau Universiti Sains Malaysia (USM) malam ini telah muncul sebagai Naib Johan di Program Malam Citra Bayu (MCB) kali ke-16 iaitu sebuah program ikonik USM yang mempertandingkan keunikan karya seni tarian Negeri di Bawah Bayu.
Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, program anjuran Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) USM telah menyaksikan PERSIS USM menewaskan enam universiti lain, yang mana Johan pertandingan pada malam ini telah jatuh ke tangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Geris Sumayau turut meraih Anugerah Muzik Terbaik dalam MCB 16 dan membawa pulang wang berjumlah RM1,000 beserta hamper dan sijil penyertaan.
Manakala tempat ketiga MCB telah jatuh ke tangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bertemakan “Megar Karya, Remangi Pesona Bayu,” acara yang gilang-gemilang itu telah menarik kira-kira 3,000 penonton dan penyokong yang kebanyakannya merupakan para pelajar dari Sabah bagi terus memeriahkan suasana majlis.
Hadir bagi merasmikan program ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, mewakili Naib Canselor USM.
Shaharum dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau yakin dengan penganjuran program ini dapat menonjolkan keunikan dan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia, khususnya negeri Sabah.
“Harapan saya adalah agar program seperti ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar dan sebagai medium persaudaraan antara PERSIS USM dengan PERSIS Universiti Awam di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek MCB 16 USM, Hannah Safiah Hamdan berkata, setiap kumpulan yang bertanding akan membawa pembaharuan dalam karya mereka untuk dipersembahkan.
“Saya berharap agar program ini dapat memperkenalkan lagi kesenian dan kebudayaan negeri Sabah kepada warga USM dan agar program ini berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan dengan harapan para penonton dapat menikmati persembahan hebat pada malam ini,” kata Hannah.
Enam universiti lain yang menyertai pertandingan tarian ini adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pihak USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua peserta yang bertanding dan berjaya merangkul gelaran Johan, Naib Johan dan tempat Ketiga dalam pertandingan ini.
Turut memeriahkan majlis pada malam ini adalah persembahan daripada pemenang tempat ketiga Big Stage musim keempat, Aisha Retno.
Hadir sama adalah Ketua Pegawai Operasi dan Pemasaran, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Zulkifli Che Hussin; Penasihat 1 PERSIS USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Yang Dipertua PERSIS USM, Muhammad Fikri Basri dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 400