USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TOT KALI KE-47 BANGUN SAHSIAH DIRI DAN BENTUK JATI DIRI PELAJAR

9d047cfd 1a74 4e00 acc3 471294aa3911

USM PULAU PINANG, 31 Mei 2024 – Sebanyak 14 kontinjen yang melibatkan seluruh warga Universiti Sains Malaysia (USM) bakal berentap dalam acara sukan terbesar USM iaitu Temasya Olahraga Tahunan (TOT) anjuran Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) USM.

Pada tahun ini, buat julung kalinya temasya ini memperkenalkan kategori khusus untuk staf iaitu acara senior dan veteran bagi memeriahkan acara-acara kejohanan ini.

Bertemakan ‘Pahlawan,’ hadir bagi merasmikan program TOT yang telah masuk tahun ke-47 penganjurannya ialah Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

a6049ab0 e82f 409a adc4 d61b1ed0fc9c

Dalam ucapan perasmiannya, Shaharum berkata, selari dengan agenda Teras Transformasi APEX universiti, beliau melihat program seperti ini mampu menjadi salah satu inisiatif bagi membangunkan sahsiah diri pelajar dengan membentuk jati diri pelajar.

“Tema pada malam ini bukan sahaja mengingatkan kita kepada kegemilangan sejarah para pahlawan tanah air, tetapi juga menyuntik semangat perjuangan, keberanian, dan kecekalan dalam setiap peserta yang terlibat,” katanya.

Katanya lagi, ‘Pahlawan’ juga dikenali kerana kebijaksanaan, adab, dan semangat juang yang tidak pernah luntur selain kekuatan fizikal mereka.

“Dalam setiap perlawanan, mereka menunjukkan integriti, disiplin, dan semangat kesukanan yang tinggi. Begitu juga kita pada hari ini, temasya olahraga ini menjadi medan untuk kita mengasah bakat, menunjukkan kemampuan, dan memupuk semangat kesukanan yang jitu,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengarah PSR USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dalam ucapannya berkata, adalah lumrah bagi setiap pertandingan yang akan ada menang dan kalahnya.

“Dalam hal seperti ini, apa yang penting daripada kemenangan adalah usaha dan semangat kesukanan serta semangat juang yang tinggi.

“Saya berharap agar semua peserta dapat menunjukkan prestasi terbaik, menjunjung tinggi semangat kesukanan dan menjadikan pengalaman ini sebagai pendorong untuk terus maju,” katanya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola TOT ke-47 USM, Irna Farisha Abdullah mengucapkan selamat berjuang buat semua kontinjen yang mengambil bahagian.

9f6cc322 1ce1 4557 8891 cd307c026058

“Majulah sukan untuk universiti dan negara!,” sahutnya.

Acara TOT ini bakal berlangsung pada 31 Mei hingga 2 Jun 2024 dengan penglibatan seramai 180 staf dan 510 pelajar sebagai peserta.

Hadir sama adalah Ombudsman USM, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad; dan pegawai-pegawai utama universiti.

fb62e14f 52d2 4a32 847e 205399010afe

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Ebrahim Ab Manan

  • Created on .
  • Hits: 546

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024