PPIP USM RAIKAN PARA GURU, HARGAI JASA DAN PENGORBANAN PARA GURU MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN
USM PULAU PINANG, 28 Mei 2024 - Sebagai tanda memperingati dan menghargai pengorbanan serta sumbangan pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM), PPIP USM hari ini telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat PPIP 2024 di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA).
Sambutan ini juga bertujuan untuk menghargai sumbangan para pendidik malah dapat mendorong usaha refleksi dan penambahbaikan berterusan dalam mencapai kecemerlangan pendidikan.
Bertemakan “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI”, tema ini amat relevan dengan cabaran serta aspirasi dalam era digital terutamanya era revolusi industri 4.0, yang mana peranan guru adalah semakin penting dan mencabar.
Selain itu, tema ini juga menggambarkan guru sebagai permata berharga yang menggunakan teknologi digital dengan bijak untuk memperkayakan pembelajaran dan pengajaran di samping menekankan pembentukan masyarakat yang maju, adil dan inklusif.
Hadir bagi merasmikan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, merangkap Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Shaharum dalam ucapan perasmiannya berkata, guru perlu menjadi agen perubahan yang inovatif, berintegriti, dan berdaya saing, dengan memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan berkualiti yang membentuk mereka menjadi individu berilmu, berakhlak mulia, dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pendidik yang telah memberi sumbangan serta komitmen dalam melatih guru-guru masa hadapan.
“Tanpa usaha gigih dan kesabaran anda, kita tidak akan mencapai kejayaan dan kemajuan dalam dunia pendidikan seperti hari ini,” katanya.
Tambah Shaharum lagi, beliau berharap agar majlis sambutan ini menjadi wadah untuk menghargai jasa dan pengorbanan para guru, serta mengukuhkan semangat dan komitmen kita dalam memartabatkan profesion perguruan.
Sementara itu, Dekan PPIP USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman berkata, beliau berharap agar majlis sambutan ini menjadi platform untuk mengenang dan menghargai usaha dan dedikasi para guru.
“Marilah kita memperkukuhkan komitmen untuk mendidik dan membimbing anak-anak bangsa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Semoga kita semua terus diberkati dan diberi kekuatan dalam menjalankan amanah yang mulia ini,” kata Rahimi.
Turut diselitkan dalam majlis ialah sesi penyampaian Anugerah Hari Guru 2024 dan pelancaran penerbitan 9 buah buku dari tahun 2023 hingga 2024 oleh PPIP USM.
Hadir sama adalah Tokoh Pendidik Majlis Sambutan Hari Guru 2024 Peringkat PPIP USM, Profesor Dr. Hazri Jamil; Pengerusi, Majlis Sambutan Hari Guru 2024 PPIP USM, Dr. Ummu Sakinah Subri dan Timbalan-Timbalan Dekan PPIP USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: NirMaryadi Rashid
- Created on .
- Hits: 459