PENSYARAH TERBANG DARI MYANMAR SERTAI REUNION, PERTEMUAN SEMULA SELEPAS 38 TAHUN GAMIT MEMORI
PUTRAJAYA, 27 Mei 2023 - Malam penuh bermakna dan penuh nostalgia buat sekumpulan 38 alumni sulung program perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) apabila berkesempatan bersua semula setelah lebih 38 tahun meninggalkan alma mater tercinta!
Setelah menamatkan pengajian perubatan dan bergraduasi pada tahun 1986, pertemuan pada malam yang dirancang khas itu sudah pastinya membawa satu keunikan, apatah lagi kesemua mereka sudah pastinya mempunyai pelbagai cerita kehidupan yang indah untuk dikongsi.
Memilih Putrajaya sebagai lokasi pertemuan semula (reunion), kumpulan alumni yang satu ketika dulu membuka lembaran sejarah kepada negara dan USM khasnya kerana menjadi kumpulan graduan pertama yang dilahirkan oleh Pusat Pengajian Sains Perubatan USM mengimbau segala kenangan yang dicipta bersama.
Mereka mempunyai kebanggaan tersendiri, selain menjadi kumpulan 50 graduan pertama yang berjaya menamatkan pengajian perubatan di USM, mereka turut menjadi antara pelajar perubatan terawal yang melanjutkan pengajian dalam universiti awam dalam negara.
Paling mengujakan, pertemuan mereka turut disertai para pensyarah yang dahulunya menjadi pembimbing untuk melakar laluan kerjaya dalam bidang perubatan sehinggalah ke hari ini, boleh disifatkan kesemua mereka menjadi tersohor dalam bidang kepakaran masing-masing.
Kebanyakannya telah mencipta nama menjadi pakar dan konsultan dalam pelbagai sub bidang perubatan termasuk pediatrik, anestologi, patologi, radiologi, psikiatri, ortopedik, pembedahan umum, pembedahan urologi, pembedahan neurologi, pembedahan vascular, kesihatan awam dan sebagainya.
Salah seorang pensyarah kumpulan pertama graduan perubatan ini juga sanggup ‘terbang’ dari Myanmar untuk tidak melepaskan peluang bertemu semula dengan anak didiknya yang disifatkan sebagai rakan karibnya satu ketika dahulu.
“Saya mengenali mereka semua di hati kerana saya bukan sekadar mengajar mereka satu ketika dahulu sebaliknya tinggal bersama mereka di asrama, makan bersama dan mencipta memori bersama,” ujar Profesor Dr. Win Kyi yang kini telah berusia lebih 70 tahun.
“Mereka juga mengajar saya mengenai pelbagai perkara khususnya cara hidup di sini. Saya memang tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dan kesempatan menghadiri reunion ini amat bermakna” ujarnya yang pernah menetap selama 35 tahun di Malaysia sebelum pulang semula ke Myanmar pada 2019.
Antara kumpulan pesyarah pengasas yang turut hadir ialah Mantan Dekan PPSP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Roslaini Abdul Majid, Profesor Dr. Ong Kok Hai, Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su, Profesor Dr. Abdul Rahman Isa, Profesor Dr. Normah Jamaludin dan sebagainya.
Hadirin pada malam itu turut teruja menerima mesej khas dari Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang juga adalah pensyarah pengasas kepada kumpulan berkenaan.
Beliau yang kini sedang dalam tugasan di luar negara menzahirkan kemaafan kerana tidak dapat menerima undangan yang disifatkan cukup bermakna itu.
“Kumpulan pioneers ini telah menyumbang khidmat bakti yang cukup besar buat negara dalam pelbagai bidang kepakaran. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan atas usaha semua yang tidak pernah luntur dalam berkhidmat kepada masyarakat dan negara,
“Saya juga berharap anda semua terus produktif untuk memberikan buah fikiran, pengalaman dan kepakaran bagi sama-sama membantu dalam memperkasakan bidang perubatan negara,” ujar beliau lanjut melalui sesi perkongsian video ucapan.
Turut berkongsi rasa ialah Dr. Roziana Ariffin, yang menyifatkan pertemuan semula mereka pada hari itu membawa pelbagai rasa, apatah lagi ada di antara mereka bertemu semula buat pertama kalinya selepas menamatkan pengajian.
“Perasaan teruja, terharu, gembira dan sayu bercampur-baur. Kami dapat mengembalikan persahabatan setelah masing-masing sibuk dalam kepelbagaian lapangan masing-masing, namun kembali bersama atas nama persahabatan,” ujar beliau yang kini masih menabur khidmat kepada dunia perubatan.
Mengimbas memorinya di Kota Bharu, beliau masih teringat betapa gigih untuk beliau mengambil nota pesakit yang kebanyakannya bertutur dalam dialek Kelantan: “Saya tidak pandai loghat Kelantan dan agak sukar pada mulanya untuk saya memahirkan diri.
“Namun itu adalah antara memori yang tidak dapat saya lupakan. Orang-orang Kelantan sangat baik dan saya pernah terima durian daripada pesakit yang ingin menzahirkan rasa terima kasih kerana membantu memudahkan urusan mereka,” katanya yang kini masih gemar ke negeri Cik Siti Wan Kembang atas pelbagai tujuan termasuk bercuti.
Selain beliau, turut menzahirkan rasa teruja ialah Dr. Lau Ing Soo, yang kini masih meneruskan kepakarannya bertugas di Thomson Hospital, Kota Damansara. Beliau berkata, pertemuan semula itu satu platform yang cukup baik untuk mengukuhkan persahabatan yang sekian lama terjalin.
Dalam pada itu, salah seorang alumni yang kini beralih ke dunia politik dan memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan, Dr. Hashim Bujang juga turut hadir dan berkongsi kegembiraan berpeluang bertemu semula rakan-rakan karibnya yang terpisah sekian lama.
“Saya berbangga dengan pencapaian semua rakan-rakan dalam kerjaya masing-masing. Saya amat berharap pertemuan sebegini dapat diadakan lebih kerap jika diizinkan olehNya,” ujar beliau yang cukup berbangga dengan pencapaian kohort pertama itu yang mana ada di antaranya telah bergelar doktor pakar, ketua-ketua jabatan dan mengetuai gred utama sektor awam.
Bukan sekadar telah melakar kejayaan gemilang, alumni kebangggaan USM ini rata-ratanya telah menabur jasa tidak ternilai dengan khidmat bakti membantu dalam perawatan pesakit-pesakit sejak 38 tahun lalu. Paling penting, mereka membuka laluan dan memacu perjalanan untuk diikuti oleh para junior dalam bidang perubatan.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis yang diberi nama Reunion of Pioneers Medic USM Class of 1986 itu, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah pula berkata, pertemuan itu dibuat bagi menghargai pensyarah pengasas kursus perubatan, memberi pengiktirafan kepada kumpulan pertama alumni dan memaut semula persahabatan yang lama terpisah.
Dalam majlis yang sama turut dimuatkan pelancaran kutipan untuk Tabung Wakaf Tunai Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Kampus Kesihatan USM bagi tujuan membiayai membeli peralatan perubatan dan membantu pesakit miskin yang mendapatkan rawatan di Hospital USM.
Wakaf ini turut berperanan dalam membantu memperkasa Kampus Kesihatan USM melalui usaha naik taraf prasarana dan fasiliti bagi memastikan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di kampus itu setanding dengan universiti-universiti terkemuka yang lain.
Maklumat lanjut berhubung Tabung Wakaf Tunai MAIK itu boleh diperoleh dengan transaksi pindahan dalam talian atau deposit tunai melalui nombor akaun 03018010178992 atas nama Universiti Sains Malaysia dan serahan tunai di Pejabat Pusat Islam Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 909