USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JUARA MBK 2024; PAMERKAN KEUNIKAN DAN KEPELBAGAIAN KUMPULAN ETNIK DAN BUDAYA SARAWAK

445544891 902028035297280 6096699281890690776 n

USM PULAU PINANG, 25 Mei 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) malam ini telah muncul sebagai juara keseluruhan Malam Bumi Kenyalang 2024 (MBK 2024), iaitu sebuah acara tahunan yang mempertandingkan tarian kebudayaan Sarawak, dan pada masa yang sama, mempamerkan keunikan kumpulan etnik dan budaya yang terdapat di negeri Sarawak.

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, program anjuran Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) USM itu menyaksikan USM menewaskan tujuh universiti awam (UA) yang lain di hadapan lebih 2,000 penonton yang membanjiri dewan.

USM turut meraih Anugerah Penari Perempuan Terbaik iaitu Qrisyha Qistina Syarizan dan Anugerah Koreografi Terbaik.

Bertemakan ‘Pimpanu Dunya Pimagan’ yang bermaksud ’menyelusuri dunia pahlawan,’ acara MBK pada malam ini bertujuan menunjukkan kepelbagaian kumpulan etnik di Sarawak kepada seisi warga USM dan juga masyarakat luar kampus.

Hadir menyempurnakan perasmian program ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Datuk Dr. Haji Annuar Rapaee, yang mewakili Premier Sarawak.

Haji Annuar dalam ucapannya berkata, beliau percaya program MBK dapat memberikan penghayatan kepelbagaian kaum dan budaya yang terdapat di Sarawak dan program sebegini mencerminkan usaha dan keringat daripada setiap pihak bagi melestarikan budaya 27 kumpulan etnik Sarawak yang cukup unik.

441165821 902027988630618 8420705330873300098 n   441691871 902027555297328 1336011140746560938 n

“Saya amat gembira melihat program ini mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan. Hal ini sangat penting untuk membentuk kemenjadian para mahasiswa dan mahasiswi mahupun para peserta dalam memacu pembangunan potensi diri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan beberapa perkara yang ditambah baik dari segi pendidikan untuk anak-anak Sarawak seperti yang telah diumumkan sebelum ini, antaranya ialah penggunaan Bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains, dan sebagainya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, sebagai wakil Naib Canselor USM berkata, beliau yakin bahawa dengan penganjuran program Malam Bumi Kenyalang buat kali ke-12 ini mampu mengetengahkan dan menonjolkan lagi warisan budaya masyarakat Sarawak yang pelbagai.

“Saya juga berharap program yang berprestij seperti ini mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing dalam pelbagai aspek selaras dengan elemen dan atribut HEBAT yang diperkenalkan ke arah apresiasi seni serta semangat bekerjasama,” kata Narimah.

444481586 902027518630665 3295609364820099690 n

Tambahnya, dengan kerjasama yang diberikan oleh PERKASA USM dan PERKASA IPTA lain, diharapkan agar program MBK akan terus berkembang dan membangun setiap tahun, di samping dapat mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa/i PERKASA di seluruh universiti awam Malaysia.

Menurut Pengarah Projek MBK 2024, Mohamad Nazim Aiman Shamsul, program ini juga merupakan satu platform yang sesuai untuk melahirkan mahasiswa/i yang kreatif, inovatif dan yakin diri dengan menterjemahkannya dalam bentuk tarian kreatif berdasarkan warisan budaya masyarakatnya.

“Saya pasti banyak perkara baharu yang telah dipelajari oleh mahasiswa mahasiswi tentang budaya Sarawak sepanjang program Malam Bumi Kenyalang ini berlangsung. Saya yakin ia merupakan sebuah pengalaman yang amat berharga dan akan diingati sampai bila-bila,” katanya lagi.

“Berhiburlah dengan persembahan kami ini! Pimpanu Dunya Pimagan. Ohaaa!,” sorak di akhir ucapannya.

Lapan universiti awam yang bertanding ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Naib johan dan tempat ketiga MBK 2024 masing-masing jatuh ke tangan UPSI dan UPM.

444151979 902028221963928 1976561167079452036 n

Hadir sama pada MBK 2024 adalah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Profesor Dr. Azizah Omar; Profesor Kehormat Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) USM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Morshidi Sirat; Pemangku Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Sarawak, Watson Chunggat Leonard Doo; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Mohammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Yang Dipertua PERKASA USM, Valerie Kylie Anak Junerason; dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Foto: Ebrahim Abd Manan

  • Created on .
  • Hits: 279

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024