KONSERT USMSOC PUKAU KIRA-KIRA 400 PENONTON, PERKENAL SENI MUZIK BUDAYA CINA
USM PULAU PINANG, 26 Mei 2024 – Setelah hampir tiga tahun dunia terikat dengan keterbatasan dalam pelaksanaan program secara besar-besaran dan bersemuka akibat penularan wabak COVID-19, Sekretariat Orkestra Cina (SOC) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah membuat kemunculan semula dengan menganjurkan Konsert USMSOC 2024.
Konsert ini telah memukau kira-kira 400 penonton yang hadir membanjiri Dewan Budaya USM, termasuk EXCO Pelancongan dan Kreatif Pulau Pinang, YB Wong Hon Wai yang sekaligus merasmikan konsert kali ke-14 yang bertemakan ‘The Journey’.
Hon Wai yang juga merupakan Alumni USM daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM berkata, konsert ini bukan sahaja memperkenalkan warisan budaya Cina tetapi juga menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang nilai-nilai budaya.
“Sebagai EXCO Pelancongan dan Ekonomi dan Kreatif Pulau Pinang, saya berasa amat bangga dan gembira atas penganjuran konsert sebegini yang memperkenalkan seni muzik tradisional Cina, yang mana saya percaya bahawa warisan muzik tradisional Cina akan terus berkembang dan disampaikan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” tambah Hon Wai.
Sementara itu, Pegawai Kebudayaan Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Murshid Md Hussain berkata, sebagai sebuah Universiti yang berstatuskan APEX, pihak USM sentiasa berusaha memupuk budaya inovasi dalam kalangan mahasiswa/i di USM, di samping menggalakkan para mahasiswanya untuk menerapkan nilai-nilai atribut H.E.B.A.T. dalam usaha meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka.
“Pihak universiti juga berhasrat untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dalam segala bidang dari aspek akademik dan kokurikulum supaya mahasiswa/i di USM mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.
“Jelaslah konsert ini menjadi medium yang baik bagi mahasiswa/i untuk menjelajahi pengalaman yang bermakna dan memperkaya pelbagai bakat, yang pastinya akan meningkatkan daya saing diri mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Projek Konsert USMSOC 2024 merangkap Naib Yang Dipertua USMSOC, How Mun Lap berkata, konsert ini merupakan konsert yang pertama diadakan selepas pandemik COVID-19.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dan berharap agar konsert pada malam ini dapat menarik perhatian para hadirin sekalian dengan mengenali keunikan budaya Cina,” kata Mun Lap.
Konsert USMSOC 2024 ini diadakan dengan inisiatif untuk membangkitkan dan melestarikan seni muzik masyarakat Cina yang merupakan antara keunikan budaya Cina.
Sebanyak 14 persembahan dipersembahkan yang menggunakan alat muzik tradisional Cina, yang mana tema konsert pada malam ini juga bertujuan untuk mencerminkan semangat dan usaha gigih USMSOC dalam memberikan inspirasi dan mendalami nilai kehidupan sebagai sebuah perjalanan.
Antara peralatan muzik tradisional yang dimainkan dalam adalah pipa, dizi, liuqin, erhu dan peralatan lain lagi yang menonjolkan keindahan dan keunikan warisan seni muzik tradisional.
Hadir sama adalah Penolong Pegawai Kebudayaan Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM merangkap Penasihat USMSOC, Ahmad Assahirin Hamlet; Yang Dipertua USMSOC, Chin Chin Tze dan pegawai-pegawai utama USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 495