SEKRETARIAT SUKARELAWAN INDIA USM ANJUR PROGRAM NURTURE THE NATURE 4.0, PUPUK KESEDARAN PENJAGAAN EKOSISTEM PAYA BAKAU
PULAU PINANG, 11 Mei 2024 – Dalam usaha mempergiatkan aktiviti kesukarelawanan yang berfokuskan kepada pembersihan kawasan pantai dan penanaman anak pokok bakau, Sekretariat Sukarelawan India (SSI) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program Nurture The Nature 4.0 untuk dua hari Sabtu berturut-turut pada bulan April yang lalu.
Pada 20 April 2024, diadakan aktiviti pembersihan kawasan pantai yang dilakukan serentak dengan aktiviti mendaki di Pantai Esen, Batu Maung, Pulau Pinang.
Kedua-dua aktiviti ini dilaksanakan sebagai usaha untuk melahirkan individu yang menepati slogan “Be Fit, Be Green”.
Seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk ahli jawatankuasa, pihak kolaborasi, ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) turut serta dalam aktiviti kesukarelawanan ini.
Dalam aktiviti pembersihan pantai itu, pelbagai sisa barangan kitar semula dikutip dan hasil kutipan itu diserahkan kepada pihak kolaborasi Environmental Protection and Education Hub (EPE Hub) di bawah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM untuk proses kitar semula.
Pada 27 April pula, Hutan Pendidikan Kecil Paya Laut, Parit Buntar, Pulau Pinang menjadi lokasi aktiviti kesukarelawanan, melibatkan Fasa 3 program ini yang berfokuskan kepada penjagaan dan pengekalan ekosistem di kawasan paya laut.
Pihak penganjur juga mengadakan aktiviti penanaman 300 anak pokok bakau dan seramai 60 orang peserta termasuk ahli jawatankuasa, pihak kolaborasi dan sukarelawan turut serta dalam aktiviti tersebut.
Pihak kolaborasi dan para sukarelawan yang turut serta pada kedua-dua fasa program ini merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada para pelajar dalam usaha memupuk kesedaran dan memberikan pendedahan tentang pemuliharaan dan pemeliharaan hutan paya laut demi masa hadapan kita.
Semoga dengan pengajuran program ini diharap dapat memberikan pendedahan serta diterapkan oleh semua pelajar USM selaras dengan kedudukan USM sebagai universiti memimpin kelestarian yang mengutamakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Sumber: Facebook BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 351