USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERJUANGAN MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU TANGGUNGJAWAB SEMUA

IMG 4870

PULAU PINANG , 1 Jun 2015 - Bahasa Melayu akan kembali menjadi bahasa ilmu, bahasa pentadbiran serta bahasa kesatuan apabila semua masyarakat bersatu memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu dengan tindakan dan kuasa yang menyeluruh.

Demikian ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Profesor Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar ketika menyampaikan ucaptama di Seminar Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Melayu di sini kelmarin.

Menurut beliau, penggunaan Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Melayu adalah sama sekali salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekututan Perkara 152 yang menetapkan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan sejak 1957.

IMG 4872

Mereka ini berjuang dalam penggunaan Bahasa Melayu seperti penukaran semula penggunaan Palace of Justice kepada Istana Kehakiman dan juga Putrajaya International Convention Centre sebagai Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

"Hal ini telah dinyatakan sendiri oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim pada Mac 2006 agar nama-nama barat ditukar kepada Bahasa Melayu," tambah beliau.

IMG 4901

Usaha memartabatkan Bahasa Melayu telah dimainkan oleh pihak DBP melalui pengukuhan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dua minggu lalu  dengan menyasarkan seramai 13 juta rakyat negara China untuk mempelajari Bahasa Melayu menerusi pembelajaran dalam talian yang dikenali sebagai Massive Open Online Courses (MOOC).

“Perjanjian ini juga adalah untuk menawarkan program Bahasa Melayu dan Pengajian Melayu dalam talian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dan juga Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) dengan pengkhususan dalam Bahasa Melayu,” tambah beliau kepada lebih 110 orang peserta seminar yang dianjurkan oleh Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), DBP Wilayah Utara, Jabatan Pelajaran Pulau Pinang serta dua kampus IPGM iaitu Kampus Sultan Abdul Halim dan Kampus Tuanku Bainun.

IMG 4923

“Namun begitu, pelbagai cabaran dihadapi oleh pejuang-pejuang bahasa dalam memartabatkan Bahasa Melayu khususnya menyentuh problematika dasar dwi bahasa yang wujud di Malaysia selama ini," ujar Md. Salleh yang juga Ombudsman USM. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1787

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024