USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERI IMPAK SIGNIFIKAN KEPADA DUNIA TEKNOLOGI, USM RANGKUL LIMA ANUGERAH TECH PLANTER 2024

PULAU PINANG, 20 Mei 2024 – Dua syarikat terbitan (spin-off) Universiti Sains Malaysia (USM) merangkul lima anugerah dalam Tech Planter 2024, sekaligus membuktikan impak besar yang dibawakan melalui penyelidikan termaju kepada dunia teknologi.

WhatsApp Image 2024 05 20 at 15.58.24

RAA Technology Sdn. Bhd. mencipta sejarah tersendiri apabila menggondol tiga anugerah, termasuk dinobat penerima Anugerah Utama, Anugerah Teraju dan Anugerah Mitsui melalui teknologi Self-Healing Motorcycle Tyre.

Self-Healing Motorcycle Tyre adalah teknologi yang memanfaatkan sumber getah dalam penghasilan getah asli yang berupaya pulih dengan sendiri dan boleh menghasilkan tayar kalis pancit.

WhatsApp Image 2024 05 20 at 15.59.02

Teknologi ini dapat menjadi penyelesaian kepada isu kemalangan jalanraya yang disebabkan masalah tayar kenderaan pancit.

Selain itu, SpaceIn Sdn. Bhd. melalui teknologi terunggul low orbit satelite yang terbukti dapat menyelesaikan isu jaringan dan rangkaian di kawasan-kawasan terpencil turut menerima dua anugerah iaitu Leave a Nest Award dan Real Tech Holdings Singapore Award.

WhatsApp Image 2024 05 20 at 15.59.53

RAA Tech dan SpaceIn diasaskan oleh dua penyelidik USM, masing-masing Profesor Madya Dr. Raa Khimi Shuib dan Dr. Norilmi Amilia Ismail.

Kedua-dua syarikat pemula ini telah mengharumkan nama USM dengan kejayaan mendahului 65 teknologi lain oleh pelbagai institusi dalam negara, sekaligus membolehkan mereka mewakili Malaysia ke Finale Tech Planters Asia yang dijadualkan berlangsung Ogos depan.

Kesemua pemenang telah diraikan dalam satu majlis khas Tech Planter Demo Day 2024 yang berlangsung di Rekaspace, Cyberjaya baru-baru ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, acara yang disertai oleh usahawan teknologi, agensi pelabur dari dalam dan luar negara ini membuka ruang dan peluang kepada penyelidik USM berkolaborasi dan memajukan teknologi ke pasaran lebih luas.

“Kemenangan ini juga membuktikan kemampuan penyelidik kita menghasilkan teknologi yang diiktiraf dan memberi impak besar kepada dunia teknologi. Universiti juga akan menjadi trend-setter dalam menghasilkan teknologi tinggi yang diiktiraf.

“Kejayaan ini juga turut menyuntik semangat kepada warga penyelidik yang lain untuk mengetengahkan teknologi masing-masing ke tahap pengkomersialan melalui syarikat pemula,” ujarnya.

Beliau juga berkata, USM sentiasa komited untuk memperkasa rekacipta para penyelidiknya dan menyediakan ekosistem untuk mereka meneroka bidang keusahawan melalui sokongan dan bimbingan dari Pusat Inovasi dan Perundingan, Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan USM serta USAINS.

Dalam pada itu, Tech Planter anjuran Leave A Nest dengan rakan kolaborasinya adalah platform yang mengangkat teknologi berimpak di bidang sains dan teknologi ke ekosistem yang berupaya membentuk mereka menjadi entiti perniagaan.

Program Tech Planter di MALAYSIA juga bertujuan untuk mengenalpasti dan membangunkan pemula ‘Real Tech’ dan berkeusahawanan.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Leave A Nest

  • Created on .
  • Hits: 466

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024