USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOR SISPA USM RAI PESERTA PERTANDINGAN IPT CIVIL DEFENCE SKILLS CHALLENGE 2024

USM PULAU PINANG, 15 Mei 2024 - Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Majlis Makan Malam Mesra bersempena dengan Pertandingan IPT Civil Defence Skills Challenge Peringkat Kebangsaan 2024 bagi meraikan kesemua peserta yang hadir daripada 9 buah institusi awam dan swasta di Malaysia.

WhatsApp Image 2024 05 15 at 21.48.29

Hadir bagi meraikan para peserta ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab.

Habibah dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Kor SISPA USM atas penganjuran pertandingan yang berskala besar ini buat julung kalinya.

Menurutnya lagi, pertandingan ini memerlukan tahap kesiapsiagaan dan penguasaan kemahiran Pegawai Kadet Sispa (PKS) terutama dalam pengaplikasian pelbagai aspek ilmu dalam menghadapi sebarang bencana.

“Saya yakin setiap tugasan, cabaran dan rintangan pasti dapat diharungi dengan adanya semangat kerjasama yang ditonjolkan oleh setiap ahli pasukan.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua yang terlibat termasuk urusetia atas dedikasi, kegigihan menjalani latihan, dan komitmen yang anda tunjukkan, sama ada sebelum mahupun semasa pertandingan ini berlangsung,” ujarnya lagi.

Habibah mengakhiri ucapannya dengan memberikan kata-kata semangat kepada para peserta dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran pertandingan tersebut.

“Semoga malam ini membawa kejayaan, kegembiraan dan kenangan yang manis dan bermakna bagi kita semua,” katanya mengakhiri ucapan.

Antara 8 IPT lain yang turut serta dalam pertandingan ini adalah Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas; Politeknik Kota Bharu; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Kuala Lumpur Mitec; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pertandingan ini berlangsung selama 3 hari iaitu bermula pada 14 Mei sehingga 16 Mei 2024, dengan penglibatan seramai 100 peserta bersama 44 pengiring.

Hadir sama adalah Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pulau Pinang, Yang Setia Kolonel (Pertahanan Awam) Zico Sual; Timbalan Komandan Kor SISPA USM, Kolonel Bersekutu (Pertahanan Awam) Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kaasim; Presiden Persatuan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pulau Pinang, Mejar Bersekutu (Pertahanan Awam) Cheah Chin Wah; Pengerusi Rancangan dan Ajutan Kor SISPA USM, Mejar Bersekutu (Pertahanan Awam) Dr. Muhd Amirul Mahamud; pegawai-pegawai Bersekutu Pertahanan Awam, pegawai-pegawai APM dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 489

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024