LGU RETREAT: MENYEDIAKAN UNIVERSITI UNTUK MASA HADAPAN
PULAU PINANG, 31 Mei 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) sedang bergerak menyediakan keperluan menghadapi masa hadapan dengan strategi yang lebih berkesan.
"Apabila USM diberikan tanggungjawab menjalani program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), harapan kerajaan, rakyat dan semua pemegang taruh adalah tinggi yang perlu dipenuhi," kata Pengerusi Lembaga Gabenor USM (LGU) Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan.
Tambahnya lagi, USM juga perlu melihat jauh ke hadapan terutamanya dalam menyediakan para siswazahnya untuk menghadapi segala cabaran yang ada untuk memasuki dunia kerjaya dengan segala perubahan dan cabaran yang ada.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Khas mengalu-alukan ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti, pegawai-pegawai utama USM, para pemikir strategik, para pemikir muda dan peserta LGU Retreat yang akan berlangsung di kampus induk USM esok.
Zulkefli mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan buah fikiran untuk USM terus bergerak ke hadapan termasuk ahli-ahli pemikir strategik yang berjaya yang datang dari luar negara.
Hadir sama ialah Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman dan isteri Datin Noraizan Jamaludin, ahli-ahli LGU serta para pegawai utama USM. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1146