PESTA KEBUDAYAAN DAN KESENIAN USM 2024: LUASKAN KREATIVITI, BANGUNKAN SENI DAN BUDAYA MASYARAKAT BERBILANG KAUM
USM PULAU PINANG, 12 Mei 2024 - Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah menganjurkan Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2024 yang telah masuk tahun kesebelas penganjurannya.
Pesta ini diadakan bukan sahaja untuk melambangkan warisan seni budaya, malah untuk melambangkan dedikasi, semangat kerjasama dan kreativiti dalam kalangan masyarakat.
Kebudayaan dan kesenian merupakan aspek penting dalam memperkayakan pengalaman universiti.
Berlangsung di Padang Kawad USM, majlis perasmian pesta tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow, yang mana pesta itu telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan kehadiran lebih 3,000 penonton.
USM SKKT pada tahun ini membawa tema ‘Rustic Splendour’ iaitu melalui tema ini, para pelajar dan hadirin bukan sahaja dapat memelihara warisan nenek moyang supaya tidak ditelan zaman, malah mereka juga dapat mewariskan warisan yang tidak ternilai ini kepada generasi yang akan datang.
Menurut Kon Yeow, sebagai sebuah negeri yang kaya dengan warisan seni budaya, kekayaan warisan seni budaya di Pulau Pinang telah memancarkan keindahan dan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan yang berkembang pesat.
“Melalui keistimewaan warisan seni budaya yang mampu menarik perhatian orang ramai, generasi muda digalakkan untuk mengambil inisiatif menganjurkan pesta seperti ini dalam mempromosikan keindahan seni yang terkandung dalam warisan dan seni budaya di negara kita,” kata Kon Yeow yang juga alumni USM.
Beliau turut menyeru para mahasiswa/i, masyarakat setempat dan pihak-pihak berkaitan untuk bersama-sama menyumbangkan tenaga dalam memelihara, melestarikan dan mempromosikan kebudayaan warisan seni budaya, yang mana beliau yakin dengan usaha daripada semua pihak, akan dapat mengangkat martabat kebudayaan dan kesenian serta memperkukuhkan identiti negara.
Harapan Kon Yeow agar pesta ini akan menjadi mercu tanda kebanggaan dan inspirasi agar lebih banyak inisiatif kebudayaan dan kesenian yang mendukung pembangunan insan dan perpaduan masyarakat dapat dilaksanakan.
Sementara itu, wakil Naib Canselor USM, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dalam ucapannya berkata pesta ini merupakan salah satu platform kepada mahasiswa/i USM untuk mencungkil bakat dan menambah pengalaman mereka dan sekaligus dapat menjalinkan hubungan silaturahim dengan mewujudkan semangat kerjasama antara satu sama lain.
Katanya lagi, melalui pesta seperti ini, para pelajar dapat menerapkan elemen HEBAT yang dapat membentuk seseorang insan untuk memiliki fikiran yang kritikal, berinovasi dan berkreativiti, yang mana mereka dapat mempelajari nilai kepimpinan apabila terlibat untuk menyelaras sesuatu aktiviti, dan beliau yakin modal insan seperti ini dapat memenuhi keperluan pasaran kerja dunia pada masa hadapan.
“Saya percaya bahawa pesta ini merupakan peluang keemasan kepada para pelajar untuk menunjukkan keunikan dan kekayaan warisan seni budaya yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.
“Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan semua mahasiswa/i untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang disajikan dalam pesta ini,” kata Hairul Anuar.
Pengarah Projek, Pesta Kebudayaan dan Kesenian USM 2024, Chu Su Xuan Ruth berkata, pesta yang diadakan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan penghayatan masyarakat pelbagai kaum dan bangsa untuk mengenali seni budaya Malaysia.
“Saya yakin pesta ini dapat membina fahaman masyarakat Malaysia mengenai budaya dan memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia,” tambah Ruth.
Para hadirin turut disajikan dengan pelbagai persembahan berunsur kebudayaan yang cukup menarik dan memukau perhatian termasuk persembahan tarian tradisional dari Kumpulan Kesenian Adikarma USM.
Turut diselitkan dalam pesta adalah Lukisan Henna, Pameran Rumah Kampung, Pembuatan Kincir Angin, Pengalaman Tikam dan lain-lain aktiviti yang dapat memperkukuhkan interaksi pelbagai lapisan masyarakat dan meluaskan pengalaman sosial mereka.
Selain itu, aktiviti-aktiviti seperti ini membolehkan para hadirin untuk memahami sejarah dan kepentingan amalan budaya seterusnya dapat meningkatkan kemahiran motor halus, ekspresi artistik dan prinsip reka bentuk dalam kalangan mahasiswa/i.
Hadir sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, YB Gooi Hsiao-Leong; Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM merangkap Penasihat SKKT USM, Tan Ewe Hoe; Yang Dipertua SKKT USM, Ooi Guan Sheng, pegawai-pegawai utama universiti dan para penaja.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 679