U-VOICE 2024 CUNGKIL BAKAT PELAJAR DALAM BIDANG NYANYIAN BAHASA MANDARIN
USM PULAU PINANG, 11 Mei 2024 – Unit Nyanyian Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah menganjurkan Pertandingan Nyanyian U-Voice Peringkat Kebangsaan kali ke-7 yang mengetengahkan bakat para pelajar menyanyi dalam Bahasa Mandarin.
Pertandingan tersebut telah bermula dengan peringkat separuh akhir yang terdiri daripada 16 peserta terbaik dan kemudian diteruskan dengan peringkat akhir yang terdiri daripada 8 peserta.
Pertandingan itu bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa di seluruh Malaysia untuk mempamerkan bakat mereka dalam bidang nyanyian, mempromosikan jaringan dalam kalangan peserta dari institut pengajian tinggi di seluruh Malaysia sekaligus memastikan hubungan kerjasama yang baik dan bermanfaat dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, demi mengeratkan hubungan antara universiti dengan persatuan lain.
Hadir bagi merasmikan Pertandingan Nyanyian U-Voice Peringkat Kebangsaan ialah Pegawai Kebudayaan Sektor Kebudayaan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Murshid Md Hussain.
Murshid dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah institusi yang berstatuskan APEX, pihak USM sentiasa menggalakkan para pelajarnya untuk menerapkan nilai-nilai H.E.B.A.T dalam kehidupan mereka agar mereka menjadi insan yang HEBAT.
“Syabas saya ucapkan kepada ahli-ahli jawatankuasa Pertandingan Nyanyian Kebangsaan U-Voice 2024 yang telah menunjukkan komitmen yang terbaik dan mempamerkan kemahiran mereka dalam mengendalikan acara seperti ini.
“Sikap seperti ini menggambarkan kegigihan dan semangat kerja berpasukan antara ahli-ahli jawatankuasa,” katanya.
Tambah Murshid, beliau berharap pertandingan ini dapat mencapai objektifnya dan sebagai wakil USM, beliau yakin pihak Universiti akan sentiasa memberikan sokongan penuh untuk program seperti ini.
Sementara itu, Yang Dipertua PBT USM, Kang Kim Hwee berkata, pertandingan ini merupakan antara projek besar persatuan yang menyediakan medan terbaik dalam memberikan peluang kepada para peserta menonjolkan bakat mereka.
Pengarah Projek pertandingan, Ng Wee Soom merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memberikan sokongan ke arah memastikan kejayaan program tersebut.
Lima universiti lain yang turut serta dalam pertandingan ini adalah New Era University College; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); UCSI University; Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT); dan Help University Subang 2.
Antara juri yang hadir ialah ikon dalam lingkungan hiburan muzik Mandarin iaitu Jin-V, Catherine Soon dan Uchi Chiew.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada para pemenang dan mereka yang bertanding dalam pertandingan ini. Berikut merupakan senarai pemenang;
Tempat Pertama - Xu Hao(Pusat Pengajian Seni, Tahun 4)
Tempat Kedua - Chin Li Xin (Pusat Pengajian Seni, Tahun 3)
Tempat Ketiga - Daniel Wong (Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Tahun 2)
Top 5 - Ooi Yee Yang (Pusat Pengajian Sains Farmasi, Tahun 2)
Top 5 - Pardis Meskaranian(UCSI)
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 718