USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERSOMANA MARTABATKAN KAJIAN DAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU, KUKUHKAN HUBUNGAN DIPLOMATIK 50 TAHUN MALAYSIA-CHINA

IMG 8642

BAYAN BARU, PULAU PINANG, 10 Mei 2024 – Bersempena dengan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50 pada tahun 2024, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu (UPPBM), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan bersama-sama Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dan Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China (PERSOMANA) 2024.

Persidangan ini memberi peluang kepada penyelidik-penyelidik dalam pelbagai bidang Pengajian Melayu dari Malaysia dan China untuk berkongsi penyelidikan dan penerbitan, mengembangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di China dan meneguhkan kajian-kajian berteraskan sosial dan budaya Melayu-China di institusi pengajian tinggi di China.

Ini sekaligus memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli akademik bidang sosiobudaya kedua-dua negara menimba lebih banyak ilmu pengetahuan terutamanya dalam konteks budaya, sejarah, kesusasteraan, bahasa dan terjemahan dalam ruang lingkup bahasa Melayu.

IMG 8641

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab mewakili Naib Canselor USM berkata, Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan sejak itu, hubungan Malaysia-China bertambah kukuh dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan mahupun pihak swasta.

“Kini di negara China, terdapat 17 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu pelbagai peringkat yang berfokuskan kepada pengajaran bahasa, persuratan Melayu, kebudayaan Melayu dan kemasyarakatan Melayu,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China 2024 (PERSOMANA 2024) dan Simposium Pelan Strategik Pengembangan Pengajian Melayu di China di Hotel Amari SPICE, Bayan Baru, Pulau Pinang.

Tambah beliau, program yang ditawarkan itu telah melahirkan ramai graduan pengajian bahasa Melayu yang bermutu tinggi dan memesatkan pembangunan negara China.

“Perkara ini juga sentiasa mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia ke China serta institusi-institusi pengajian tinggi Malaysia,” jelas Habibah lagi.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan empat buah buku baharu terbitan Penerbit USM di bawah Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong bertajuk Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar China; Perbandingan Tatabahasa dan Peribahasa Bahasa Cina-Bahasa Melayu; Sejarah dan Sosiobudaya Malaysia-China; dan Spektrum Terjemahan Bahasa China-Bahasa Melayu.

Sementara itu di majlis yang sama, Penasihat (Pendidikan) Kedutaan Besar China di Malaysia, Zhao Changtao berkata sejak terjalinnya hubungan diplomatik China-Malaysia, kedua-dua buah negara telah mengekalkan hubungan kerjasama yang mengutamakan persahabatan, keikhlasan, kepentingan bersama dan keterangkuman bagi mendorong pembangunan dan kemajuan bersama dalam pelbagai bidang secara berterusan, terutamanya dalam bidang pendidikan.

IMG 8640

“Bagi dua buah negara yang masing-masing mempunyai sejarah ketamadunan yang gemilang ini, interaksi antara bahasa sentiasa menjadi sebahagian yang penting dalam kerjasama kita.

“Sepanjang setengah abad yang lalu, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi merobohkan benteng bahasa demi mewujudkan interaksi dan kerjasama yang kukuh,” jelas beliau lagi.

IMG 8644

Zhao Changtao berharap walaupun China dan Malaysia jauh dari segi kedudukan geografinya, namun ia tidak terpisah dengan budaya sesama negara yang memiliki daya tarikan dan nilai yang istimewa.

“Dengan memperkukuh interaksi antara budaya, kita dapat belajar daripada satu sama lain dan berkembang maju bagi menyumbang kebijaksanaan dan tenaga kita dalam membina komuniti masa depan yang dapat dikongsi bersama oleh seluruh umat manusia,” tambahnya.

Dalam majlis yang sama juga, bersempena sambutan jubli emas hubungan diplomatik Malaysia-China, USM memberikan penghormatan dan penghargaan kepada semua tenaga pengajar bahasa Melayu di negara China yang sentiasa bersama-sama dengan USM dalam perjuangan pemartabatan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu di China sejak Bahasa Melayu mula diajarkan di negara China pada tahun 1962.

IMG 8643

Ia melibatkan tenaga pengajar dari Beijing Foreign Studies University; Communication University of China; Guangxi Minzu University; Yunnan Minzu University; Tianjin Foreign Studies University; Guangdong University of Foreign Studies; Xi'an International Studies University; Sichuan International Studies University; Yunnan University; Chengdu International Studies University; Minjiang Teachers College; Hainan College of Foreign Studies; Hainan Normal University; dan Jilin International Studies University.

Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China 2024 (PERSOMANA 2024) dan Simposium Pelan Strategik Pengembangan Pengajian Melayu yang berlangsung selama dua hari ini mengetengahkan para pakar, cendekiawan dan penyelidik dari kedua-dua negara berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih meluas dalam pembangunan sosiobudaya antara Malaysia dan China.

Yang turut hadir adalah Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan; Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Konsul Jeneral, Pejabat Konsulat China di Pulau Pinang, Ding Qiao; Mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Roziah Md. Yunus; Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Prof. Madya Dr. Jasni Sulong; Dekan Pusat Pengajian Asia, Beijing Foreign Studies University (BFSU); Prof. Dr. Su Yingying; Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Lim Chuan Boon; dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran PERSOMANA dan Simposium Pelan Strategik Pengembangan Pengajian Melayu Di China 2024, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar & Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 669

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024