DEWAN PERUNDINGAN PELAJAR USM BAHAS USUL ROHINGYA
PULAU PINANG, 31 Mei 2015 - Sebanyak 13 usul dibahaskan oleh Ahli Dewan Perundingan Pelajar (DPP) Universiti Sains Malaysia (USM) tidak termasuk 2 usul tergempar pada mesyuarat siri kedua Dewan Perundingan Pelajar USM Sidang Akademik 2014/2015 di Dewan Persidangan Universiti hari ini.
Usul yang mendapat tumpuan adalah berkaitan isu etnik Rohingya yang menggesa kerajaan Malaysia mengenakan tekanan ekonomi dan politik terhadap negara Myanmar untuk memberi kerakyatan yang sah terhadap etnik Rohingya.
"Hak kerakyatan terhadap etnik Rohingya telah dinafikan oleh kerajaan Myanmar yang telah menyebabkan berlakunya penyeksaan dan pembunuhan terhadap etnik ini," kata wakil Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kesihatan Zaid bin Abdul Halim.
Ini tambahnya, menyebabkan mereka meninggalkan tanah air sendiri mencari perlindungan di negara-negara ASEAN lain termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
"Atas dasar kemanusiaan, kerajaan Myanmar harus didesak untuk bertanggungjawab ke atas mereka sebagai langkah penyelesaian jangka lama", ujar Zaid ketika membentangkan usul ketiga ini.
DPP juta meluluskan usul mengutuk kerajaan Myanmar yang tidak ambil tindakan kepada pelampau agama di Myanmar terhadap etnik Rohingya.
Mesyuarat kali ini telah dihadiri oleh 54 orang ahli dewan dan 28 pemerhati yang terdiri daripada pelajar USM. - Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1686