USM-UNAIR METERAI KERJASAMA USAHA TANGANI ISU PERUBAHAN IKLIM DAN KRISIS KESIHATAN AWAM GLOBAL
USM PULAU PINANG, 6 Mei 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan jalinan kerjasama antarabangsa bersama Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia serentak dengan penganjuran Kolokium Antarabangsa Kesihatan Awam, Jaminan Makanan dan Perubahan Iklim bagi mendepani cabaran global perubahan iklim, krisis kesihatan awam dan jurang sosio-ekonomi.
Pada edisi kolokium kali ini, kedua-dua universiti menampilkan tenaga pakar, penyelidik dan pelajar bagi berkongsi kepakaran membincangkan solusi mengenai kesan perubahan iklim terhadap kelestarian kesihatan awam dan jaminan makanan, termasuk menonjolkan kepentingan tindakan kolektif dalam menangani isu global ini.
Turut bersama USM dan UNAIR dalam menjayakan kolokium ini adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bertam, Pulau Pinang yang bersedia berkongsi kepakaran mencari solusi terbaik mendepani isu-isu global yang bakal dibentangkan pada kolokium tersebut.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dato’ Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah berkata, inisiatif kerjasama antara USM, UiTM Kampus Bertam, dan UNAIR ini menandakan satu pencapaian penting dalam komitmen bersama untuk membangunkan pengetahuan, memupuk inovasi dan menangani cabaran global yang mendesak.
Tambah beliau, pertukaran intelektual dan libatsama komuniti ini adalah penting untuk mengiktiraf kuasa kerjasama dalam memacu perubahan positif melalui himpunan penyelidik, pengamal, penggubal dasar dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan disiplin.
“Antara matlamat utama kerjasama USM-UNAIR dan penganjuran Kolokium ini adalah untuk membina jaringan antarabangsa, penerbitan bersama, pertukaran tenaga pakar dan pertukaran pelajar antara kedua-dua universiti bagi mempamerkan hasil yang ketara dan impak kepada usahasama mendepani cabaran-cabaran utama isu global masa kini,” kata beliau ketika merasmikan Kolokium Antarabangsa Kesihatan Awam, Jaminan Makanan dan Perubahan Iklim dan Majlis Pertukaran MoU antara USM dengan UNAIR, di Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM.
Jelas Amirul Al-Ashraf lagi, apa yang diharapkan oleh universiti sekarang ini adalah isu-isu kritikal yang dihadapi oleh masyarakat dapat dibincangkan dan meneroka penyelesaian inovatif yang boleh membuka jalan untuk masa depan yang lebih mampan dan inklusif.
Sementara itu di majlis yang sama, mewakili Dekan Fakultas Kesihatan Masyarakat, UNAIR, Dr. Ratna Dwi Puji Astuti berkata, kerjasama antara USM, UNAIR dan UiTM amat dialu-alukan oleh universiti berkenaan memandangkan komitmen UNAIR juga adalah selari dengan hasrat USM dan UiTM dalam mengorak langkah mencari pendekatan inovatif menyelesaikan isu-isu perubahan iklim, jaminan makanan dan kesihatan awam di rantau ini.
“Pertukaran ilmu dan kepakaran dari kedua-dua negara amat penting supaya ia signifikan dalam mencari solusi yang bersesuaian untuk mengatasi permasalahan ini kerana isu perubahan iklim dan pemanasan global kini sedia maklum amat meruncing apatah lagi membabitkan keselamatan penduduk dunia masa kini,” jelas beliau.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Ketua Jabatan, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Bertam, Pulau Pinang, Profesor Madya Ts. Dr. Wan Ismahanisa Ismail; dan Pengerusi Program Kolokium Antarabangsa Kesihatan Awam, Jaminan Makanan dan Perubahan Iklim USM, Prof. Madya Ts. Dr. Abdul Hafiz Ab Majid.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Hasrul Hamzah (Pusat Pengajian Sains Kajihayat)
- Created on .
- Hits: 869