USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENTERI KPT-MITI LANCAR PORTAL MRI3, PERKASA PEMBANGUNAN DAYA SAING INDUSTRI MELALUI PEMBANGUNAN BAKAT TEMPATAN

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2024 - Sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE Research and Industry-Infused Incubation, MRI3), Universiti Sains Malaysia (USM) telah membangunkan sebuah portal MRI3 bagi menyelaraskan penempatan latihan industri dan projek tahun akhir pelajar Universiti Awam (UA).

WhatsApp Image 2024 05 07 at 19.00.37

Portal ini ditadbir urus oleh USM, selaku Penyelaras E&E Universiti Malaysia (CEE) yang mana melalui portal ini, pihak industri boleh mendaftar dan mengiklankan bilangan tempat penawaran latihan industri, senarai bidang tumpuan projek tahun akhir serta membuat tapisan pelajar.

Melalui portal tersebut, para pelajar boleh memuat naik resumé dan membuat permohonan menerusi portal MRI3 yang mana senarai nama pelajar dan penyelia turut disimpan dalam portal tersebut.

Selaku ketua konsortium, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini telah hadir ke Pelancaran Portal MRI3 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pelancaran portal MRI3 ini adalah untuk menandakan kemajuan program ke fasa yang seterusnya dengan tujuan untuk memberikan manfaat kepada pihak universiti, industri, KPT dan negara.

Selain itu, setiap data dan perkembangan program MRI3 boleh diakses oleh pihak Jabatan Pendidikan Tinggi, penyelaras daripada setiap universiti, pihak industri, para pelajar, dan penyelia.

Dianggarkan sebanyak 500 penempatan yang akan ditawarkan kepada pelajar daripada 19 UA bagi tahun 2024.

Sehingga kini, seramai 489 orang pelajar daripada 19 UA telah mendaftar dalam portal MRI3.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha bagi memastikan kebolehpasaran graduan dengan menyediakan bakat berkemahiran tinggi yang bertepatan keperluan industri, dengan jaminan gaji premium minimum sebanyak RM4,000.

Pada 1 November 2023 tahun lalu, USM telah dilantik sebagai ketua Konsortium E&E UA MRI3 sewaktu Persidangan Pasaran Graduan 2023.

USM telah memperkenalkan Program MRI3 bagi membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran ‘sharp-skill’ dan ‘smart-skill’ yang bertepatan dengan keperluan industri E&E yang merangkumi bakat bermula daripada tahap ijazah pertama sehingga pasca-siswazah.

Pada 14 Disember 2023 yang lalu, Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara 19 UA bersama 27 syarikat industri termasuk rakan strategik agensi bagi menjadi perintis dalam pelaksanaan program MRI3, yang telah dirasmikan dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, yang mewakili Menteri KPT.

Pelancaran Portal MRI3 ini telah diadakan bersempena dengan Majlis Penandatanganan MoU antara KPT dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang berlangsung di Dewan Perdana, Kuala Lumpur, petang ini.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 247

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024