USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GELOMBANG HABA: USM TINGKAT KESEDARAN PELAJAR SEKOLAH, LATIH GUNA TENAGA BOLEH BAHARU

PULAU PINANG, 7 Mei 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil pendekatan inovatif dalam memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar sekolah mengenai bahaya gelombang haba dan kesannya kepada kesihatan melalui pendidikan berterusan.

WhatsApp Image 2024 05 07 at 15.42.32

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, para pelajar bukan sekadar diberi pendedahan kepada isu gelombang haba, sebaliknya turut dilatih menerapkan aspek inovatif dengan menggunakan tenaga boleh baharu.

Katanya, usaha berkenaan adalah salah satu inisiatif USM sebagai institusi yang sentiasa mengambil berat hal-hal berkaitan kelestarian dan komuniti, selain peka tentang perubahan iklim yang kronik yang berlaku dan kesannya kepada komuniti berdekatan.

WhatsApp Image 2024 05 07 at 3.42.29 PM

“Program hari ini adalah satu usaha komuniti USM meningkatkan kesedaran pelajar dan dalam masa yang sama menerapkan sikap inovatif penggunaan tenaga boleh baharu (renewable energy).

“Jika dilihat intipati program ini, ia melatih pelajar sekolah supaya dapat membuat kempen kesedaran dan membina sikap inovatif dalam bidang STEM bagi menghadapi perubahan iklim dunia,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena program “Pendidikan Gelombang Haba: Memperkasakan Generasi Muda Melalui Projek STEM 2024” di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Binti Mohd Nor dan disertai oleh lebih 400 pelajar daripada enam buah sekolah menengah terpilih di sekitar Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2024 05 07 at 3.42.30 PM

Abdul Rahman turut berkata, program yang julung kali diadakan itu selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 13 iaitu Tindakan Iklim (Climate Action).

“Bagi menghadapi dunia norma baharu ini, pelajar perlu pantas beradaptasi, fleksibel dan perlu pertingkatkan kemahiran dan ilmu STEM yang ada,” ujar beliau lanjut.

Dalam pada itu, program berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat mengenai punca dan ciri gelombang haba, serta langkah yang boleh diambil untuk kekal selamat dan mengurangkan kesan haba melampau.

WhatsApp Image 2024 05 07 at 3.42.32 PM

Pelajar juga diberikan pemahaman mengenai kepentingan melindungi diri mereka dan orang lain semasa gelombang panas, seperti kekal terhidrat, mencari tempat teduh dan mengelakkan aktiviti luar yang berat.

Paling penting, pelajar mendapat input “hands-on” dan “experiential learning” untuk beradaptasi dengan gelombang haba, seterusnya memupuk minat mereka untuk mendalami ilmu STEM dengan lebih mendalam.

WhatsApp Image 2024 05 07 at 3.42.39 PM

Teks: Marziana Moahamed Alias/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 172

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024