USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAPID PENANG PERKENAL LALUAN PERCUBAAN BAHARU T310, KHAS BUAT PELAJAR USM

USM PULAU PINANG, 6 Mei 2024 - Warga Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) kini mempunyai akses kepada kemudahan perkhidmatan awam melalui pelancaran perkhidmatan laluan percubaan bas henti-henti T310 yang beroperasi dalam kawasan kampus, dan seterusnya menuju ke Terminal Ekspres Sungai Nibong, Kompleks Bukit Jambul dan Queensbay Mall.

WhatsApp Image 2024 05 06 at 12.52.38 1

Laluan ini akan dilaksanakan selama 3 bulan yang telah bermula pada 2 Mei yang lalu sehingga 31 Julai 2024, yang mana perkhidmatan ini disediakan dari jam 6.00 pagi hingga 10.30 malam dengan kadar tambang daripada RM0.90 sehingga RM2.10.

Hadir bagi menyempurnakan pelancaran secara simbolik adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Ketua Wilayah Utara, Rapid Bus Sdn. Bhd., Ahmad Shabuddin Abdullah.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman.

WhatsApp Image 2024 05 06 at 12.52.41 1

Menurut Abdul Rahman, laluan baharu ini akan membuka lembaran baharu dalam perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang dan secara tidak langsung akan memberikan kemudahan secara khusus kepada mahasiswa USM serta warga USM yang lain serta penduduk setempat.

“Perkara ini adalah selari dengan fokus USM dalam memperkasakan urusan kebajikan, komuniti dan kelestarian berkaitan pelbagai aspek, termasuk aspek ekonomi di Negeri Pulau Pinang,” kata Abdul Rahman.

Beliau turut merakamkan merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Rapid Penang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas persetujuan mewujudkan laluan baharu Bas Rapid Penang T310, hasil daripada cadangan inisiatif bersama dalam mewujudkan laluan khas Perkhidmatan Bas Rapid di USM.

Ahmad Shabuddin Abdullah pula berkata, laluan T310 ini merupakan laluan baharu yang bertujuan memudahkan pergerakan para pelajar USM dalam kampus ke destinasi terpilih khususnya di Hub Bukit Jambul untuk bergerak ke destinasi yang lain melalui laluan-laluan bas yang sedia ada.

Para kenamaan dalam majlis berkenaan kemudiannya dibawa menaiki bas Rapid Penang melalui kawasan-kawasan dalam USM yang berada dalam laluan T310.

WhatsApp Image 2024 05 06 at 12.52.40 2

Perkhidmatan bas henti-henti T310 ini meliputi jarak perjalanan sejauh hampir 15km yang mempunyai 35 hentian bas dan kekerapannya adalah setiap 20 minit hingga 30 minit.

Perkhidmatan ini adalah sebagai langkah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai mod pengangkutan utama, yang mana pihak Rapid Penang berharap agar para pelajar USM dapat memanfaatkan perkhidmatan ini serta memberikan maklum balas mengenai laluan T310 ini.

Bagi mengetahui lokasi semasa bas, pelanggan digalakkan menggunakan aplikasi Myrapid PULSE atau melayari portal Myrapid Bus Kiosk di:
https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid Penang di talian 04- 255 8000 (Isnin hingga Ahad: 5.30 pagi hingga 11.00 malam) atau melalui laman media sosial Rapid Penang atau emel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 574

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024