USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DPP USM KOMITED MEMBENTUK MAHASISWA BERKUALITI

USM PULAU PINANG, 4 Mei 2024 - Sidang Dewan Perundingan Pelajar (DPP) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan mesyuarat pertamanya bagi sidang akademik 2023/2024 di Dewan Persidangan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.

WhatsApp Image 2024 05 04 at 12.29.21

Hadir bagi merasmikan sidang ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Dalam ucapan perasmiannya, Abdul Rahman berkata, selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa, DPP sememangnya berperanan sebagai satu platform perundingan yang membawa suara mahasiswa kepada pihak universiti dalam segala hal berkenaan kebajikan dan pembangunan pelajar.

WhatsApp Image 2024 05 04 at 12.03.34

“Melalui 25 usul yang akan dibentangkan dan dibahaskan, saya berharap agar para mahasiswa akan berhujah dengan penuh fakta dan berlandaskan bukti, tidak mengikut emosi serta menitikberatkan kebajikan mahasiswa USM,” katanya.

Abdul Rahman turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM yang terus menyokong dan menyambut baik Pindaan Rang Undang-Undang berkaitan dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Tambah Abdul Rahman, harapan beliau lagi adalah agar DPP akan terus menjadi inspirasi pembentukan mahasiswa berkualiti, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.

“Anda semua bakal menjadi pemimpin masa depan negara.  Anda akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang mana anda harus bersedia untuk membantu negara demi mencapai matlamat yang terbaik.

“Semoga penglibatan anda semua dalam DPP pada sidang ini dapat memberikan impak kepada komuniti, universiti dan negara. Kita perlu kekal relevan kepada masyarakat di luar sana dan terus membantu mereka terutamanya golongan yang memerlukan bantuan kita,” pesannya lagi.

Sebelum menamatkan ucapan, beliau turut menyatakan bahawa tahun ini terdapat beberapa penambahbaikan dari segi kemudahan pelajar dan antara inisiatif lain yang akan diperkenalkan ialah perkhidmatan bas laluan percubaan baharu, khas untuk pelajar USM.

Sementara itu, Abdul Rahman turut memaklumkan bahawa melalui program-program yang telah dilaksanakan tidak kira program komuniti atau industri, USM telah menjadi sebagai tempat rujukan dan ini tidak akan berlaku jika tiada kerjasama bersama antara semua pihak.

Turut diselitkan dalam majlis ialah sesi menyarung jubah kepada Speaker Dewan, Timbalan Speaker Dewan dan Setiausaha Dewan oleh Naib Canselor USM.

WhatsApp Image 2024 05 04 at 12.03.36 2

Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Azizah Omar; Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Roslan Ismail; Yang Dipertua MPP USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Setiausaha DPP Sidang Akademik 2023/2024, Nuraini Jalaluddin dan pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 387

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024