HIMPUN BUDAYA 2024: RAI DAN PROMOSIKAN KEPELBAGAIAN SENI BUDAYA TEMPATAN
USM PULAU PINANG, 3 Mei 2024 - Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Peneraju Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC); Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara; Pusat Pengajian Seni USM; dan Sekretariat Protégé USM sekali lagi telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program dan aktiviti yang berformatkan festival kebudayaan, iaitu Himpun Budaya 2024.
Berlangsung di Dewan Budaya USM dan bertemakan “Madani: Menelusuri Budaya Tradisi”, festival kebudayaan yang telah masuk tahun ketiga penganjurannya bertujuan untuk menghimpunkan kepelbagaian kebudayaan di bawah satu payung di samping mempromosikan seni dan budaya Malaysia kepada pengunjung dari pelbagai tempat dan negeri serta pelancong asing.
Perasmian program ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor USM Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran, mewakili Naib Canselor USM.
Azlan Amran dalam ucapannya berkata, beliau yakin program seperti ini dapat memberi impak sekali gus dapat membuka mata para mahasiswa/i terutamanya pelajar-pelajar antarabangsa untuk turut bersama mendalami dan menerokai keunikan seni budaya yang ada di negara kita.
“Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), aktiviti ini dapat mengangkat dan menyokong kelestarian melalui pengisian program yang telah diaturkan.
“Saya amat berbesar hati untuk mengajak semua khususnya kepada warga kampus dan komuniti sekeliling untuk sama-sama menghargai dan mendalami kelestarian seni budaya melalui program Himpun Budaya ini,” kata Azlan Amran.
Harapan Azlan Amran adalah agar melalui pengalaman ini, para pelajar dapat menunjukkan semangat cinta mereka terhadap kesenian dan kebudayaan di negara kita.
Sementara itu, Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli berkata melalui seni dan budaya yang dipelajari dan diterokai dalam program ini, beliau berharap agar program ini dapat membina dan membentuk nilai-nilai murni dalam mengapresiasikan seni dan budaya.
Azlan Amran dan kenamaan lain kemudian turut serta dalam sukan tradisi Boling Kelapa dan tarian ‘flashmob’ oleh Sekretariat Protégé USM.
Hadir sama adalah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azizah Omar; Pengarah MOTAC Negeri Pulau Pinang, Dr. Anuar Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Madya Sarena Abdullah; wakil DBP Wilayah Utara, Zainal Abidin Mohd Zin; Ketua Delegasi Pusat Pengajian Seni, Songkla Rajabhat University, Thailand, Profesor Madya Ratchaya Weerakarn dan Pegawai Kebudayaan Kanan, Dewan Budaya USM merangkap Pengarah Projek Himpun Budaya 2024.
Program Himpun Budaya akan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei 2024 di kawasan Permatang Pelajar dan kawasan sekitar Dewan Budaya USM.
Antara aktiviti-aktiviti menarik sepanjang minggu program adalah Buka (Majlis Perasmian); Main (Sukan Tradisi Terbuka); Kunyah (Pesta Makanan Tradisi); Rentak (Persembahan Kebudayaan); Palu (Demonstrasi Pergendangan); Cipta (Bengkel Tarian Melayu-Thailand dan Bengkel batik Tie-Dye); Wayang Pacak (Tayangan Filem Melayu Klasik) dan Puisi (Persembahan Puisi Melayu) yang bakal menampilkan penggiat seni tanah air dari pelbagai negeri.
Istimewa pada program Himpun Budaya tahun ini, ia akan diserikan lagi dengan kolaborasi istimewa dari Songkhla Rajabhat University, Thailand yang akan turut sama membuat persembahan pada malam Rentak, iaitu pada hari Ahad, 5 Mei 2024 di Dewan Budaya USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 425