USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUSAT PENGAJIAN SENI ANJUR HARI TERBUKA SAMBUT ULANG TAHUN KE-25

WhatsApp Image 2024 04 30 at 10.42.03 AM 

USM PULAU PINANG, 30 April 2024 – Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan ulang tahun ke-25nya dengan mengadakan Hari Terbuka pada 29 dan 30 April 2024 di premis pusat pengajian.

Pagi ini, berlangsungnya majlis perasmian sambutan tersebut, yang turut dihadiri oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Mantan Dekan Pusat Pengajian Seni yang pertama, Dr. Ismail Abdullah; serta Dekan Pusat Pengajian Seni, Profesor Madya Dr. Sarena Abdullah.

Menurut Ismail, Pusat Pengajian Seni yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Seni hanya menawarkan tiga program pengajian, namun semakin menginjaknya waktu, ia mula menambah penawaran program pengajian termasuk penawaran program Sarjana dan Doktor Falsafah yang telah berjaya melahirkan ramai cendekiawan.

Jelasnya lagi, dalam jangka masa 25 tahun, Pusat Pengajian Seni telah melahirkan beribu graduan dan menginspirasikan penubuhan institusi seni lain di seluruh Malaysia.

WhatsApp Image 2024 04 30 at 10.42.06 AM

Sebagai mantan dekan pertama Pusat Pengajian Seni, Ismail diberi penghormatan untuk menyempurnakan perasmian sambutan ulang tahun ke-25 pusat pengajian.

Mengikut Abdul Rahman pula, beliau selalu berbangga dengan USM dan juga pemikiran luar kotak Naib Canselor pertama USM, Tan Sri Hamzah Sendut yang menggagaskan penubuhan subjek seni di sebuah universiti berteraskan sains.

“Sebagai seorang yang berlatar belakang sains, saya juga melihat betapa pentingnya sesebuah gedung ilmu mempunyai bukan sahaja pengkhususan dalam sesuatu bidang, tetapi juga keseimbangan dan rentas disiplin,” jelasnya.

WhatsApp Image 2024 04 30 at 10.42.07 AM

“Pusat Pengajian Seni telah banyak membantu mewarnakan dunia kampus USM. Selain kaya dengan penyelidikan seperti projek Kearifan Tempatan, Pusat Pengajian Seni juga banyak membantu mengangkat aktiviti dalam bidang Sustainable Development Goals (SDG 11) iaitu Sustainable Cities and Communities,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sarena berharap sambutan ini akan menjadi tarikan untuk pencinta seni, budaya, dan kreativiti dari pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, “Sambutan ini juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai program akademik yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Seni, serta mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan kampus USM.”

Mengimbau sejarah penubuhannya, Pusat Pengajian Seni mula ditubuhkan pada tahun 1970 menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sastera, diikuti pada tahun 1999 dengan penawaran Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dan Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik yang bermula pada Sidang Akademik 1999/2000.

WhatsApp Image 2024 04 30 at 10.42.05 AM

Sejak itu, beberapa bidang pengkhususan baharu telah diperkenalkan, merangkumi aspek seni, budaya dan rekabentuk, iaitu Seni Halus, Grafik Komunikasi, Rekabentuk Produk, dan Rekabentuk & Teknologi Media Baru.

Secara amnya, Pusat Pengajian Seni telah berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan untuk penglestarian dengan pengalaman Universiti Sains Malaysia sebagai universiti APEX yang mentransformasikan pendidikan tinggi untuk masa depan yang mampan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin serta Mantan-mantan Dekan Pusat Pengajian Seni.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

 

  • Created on .
  • Hits: 405

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024