USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM RAI AIDILFITRI BERSAMA PELATIH DAN PETUGAS PPDK KAMPUS INDUK USM

USM PULAU PINANG, 29 April 2024 - Bagi meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan Al-Mubarak, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung kalinya menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama ibu bapa dan waris serta para pelatih PPDK USM.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 18.30.24 1

Sambutan ini telah melibatkan seramai 50 orang pelatih, 100 orang ibu bapa dan waris serta tujuh orang guru, dengan jumlah keseluruhan adalah seramai 157 orang peserta.

Hadir bagi merasmikan sambutan tersebut ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, selaku Naib Canselor USM, beliau sentiasa menyokong penuh dan memberikan sokongan terhadap apa juga bentuk keperluan pelatih sama ada yang berbentuk infrastruktur, kebajikan dan keperluan PPDK Kampus Induk USM.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 18.30.21

“Dengan adanya bangunan baharu yang merupakan inisiatif USM melalui geran Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT), ianya dapat membantu menyediakan prasarana yang kondusif bagi membolehkan program pemulihan dijalankan dengan lebih lancar.

“Secara tidak langsung, bangunan lama dan baru yang dilengkapi dengan segala kelengkapan ini membuktikan bahawa USM sentiasa peka terhadap keperluan dan kebajikan pelatih, ibu bapa/waris di PPDK Kampus Induk USM,” kata Abdul Rahman.

Saranan Abdul Rahman kepada semua ibu bapa/waris pelatih PPDK Kampus Induk USM agar dapat bersama-sama menggembleng tenaga, idea dan buah fikiran untuk meningkatkan potensi dan perkembangan pelatih agar mereka dapat berdikari dan berada dalam masyarakat kelak.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 18.30.26

“Saya yakin dan percaya PPDK Kampus Induk USM mampu menjadi contoh kepada PPDK Universiti Awam lain di Malaysia yang pernah hadir melakukan 'benchmarking' bagi melihat modul yang kami jalankan untuk digunakan di tempat mereka. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat baik,” ujarnya lagi.

Harapan Abdul Rahman adalah agar lebih banyak program seumpama ini menjadi teras kepada universiti agar terus bersemangat untuk meningkatkan kesedaran dan cakna terhadap golongan OKU, terutamanya dalam isu berkaitan hak, peluang dan akses yang sama dalam masyarakat, dan mereka tidak akan merasa tersisih.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 18.30.26 2

Abdul Rahman kemudian menyampaikan sumbangan berupa duit raya kepada para pelatih dan petugas PPDK Kampus Induk USM.

Sementara itu, Pengerusi PPDK Kampus Induk USM yang juga merupakan pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) USM, Dr. Syazwani Drani berkata, PPDK USM sentiasa merangka dan merancang program-program yang bersesuaian bagi meningkatkan kebolehan dan potensi pelatih.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 18.30.26 1

Beliau kemudiannya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua para tetamu dengan harapan agar PPDK Kampus Induk USM akan sentiasa berusaha untuk terus memberi impak yang positif kepada para pelatih dan universiti.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 18.30.24

Hadir sama adalah Dekan PPSK USM, Profesor Madya Dr. Mohammad Shaharuddin Samsurijan; Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti PPSK USM, Profesor Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh; Pegawai Kebajikan Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Jamuna Naidu Nesen; Penyelaras Orang Kurang Upaya Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Nor Farahiyah Yaakob dan Ahli-ahli JawatanKuasa PPDK Kampus Induk USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 378

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024