USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SYUKUR DIBERI PELUANG KEDUA, BEKAS PESAKIT KANSER TULIS BUKU BERKONGSI RASA

BERTAM, 29 April 2024 – Ibarat memperoleh kemenangan besar setelah dibebaskan dari kanser, seorang bekas pesakit yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia, Bertam (PPUSMB), di sini nekad menulis sebuah buku bagi berkongsi rasa.

Buku bertajuk September Kupilih Bahagia itu ditulis oleh Faridah Ismail, 48, pejuang melawan kanser (cancer fighter) yang mula didiagnos menghidap kanser tiroid tahap empat pada 2019, berkisarkan kepada pengalamannya berdepan ujian getir dalam hidupnya.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 13.04.32

“Emosi saya pada masa itu hanya Allah yang tahu. Perasaan saya berkecamuk, ada rasa takut, sedih, bimbang dan yang paling saya fikirkan adalah hidup saya kian hampir ke penghujungnya.

“Namun saya bersyukur, dengan sokongan orang-orang tersayang di sekeliling saya termasuk suami, anak-anak dan keluarga terdekat, di samping kaedah rawatan yang saya cuba di PPUSMB ini, Allah SWT masih panjangkan nyawa saya,” ujarnya.

Justeru beliau nekad menitipkan segala memori pahit manis dan rasa syukurnya untuk dikongsi dengan semua, khususnya mereka yang sedang berjuang melawan penyakit kanser yang digeruni itu.

Mengulas mengenai buku tulisannya, Faridah menyatakan idea itu datang atas pengalamannya mencari bahan bacaan berbentuk perkongsian oleh pesakit kanser sendiri ketika mula-mula disahkan menghidap penyakit itu.

“Saya suka membaca dan ketika saya disahkan ada kanser, saya tercari-cari bahan bacaan oleh insan senasib yang boleh dijadikan panduan untuk saya menghadapi hari-hari saya, namun tiada.

“Justeru saya bukukan semua rasa termasuk semangat untuk bangkit dan melawan penyakit, menguruskan diri dalam fasa rawatan serta kaedah rawatan yang saya jalani untuk menjadi panduan kepada mereka yang memerlukan,” jelas beliau lagi.

Perasaan sama turut dikongsi seorang lagi pesakit, Hasbullah Rashid, 42, juga seorang guru muda yang yang diuji menghidap kanser lidah sehingga hampir meragut masa depannya sebagai guru pendidikan jasmani pada 2018.

“Saya diberikan pilihan rawatan untuk memotong lidah bagi membuang sel kanser dengan kemungkinan langsung tidak lagi dapat bertutur, dalam masa yang sama disarankan berjumpa pakar onkologi di PPUSMB untuk rawatan brakiterapi.

“Alhamdulillah, Allah SWT kurniakan saya dengan kesembuhan dan masih mampu bercakap sehingga ke hari ini. Saya seperti mendapat hidup baharu setelah disahkan bebas dari kanser lidah tahap tiga pada 2022,” ujar beliau lanjut.

Kedua-dua pesakit yang ditemubual adalah dalam kelompok pesakit kanser yang menjalani rawatan di PPUSMB dan menunjukkan tindak balas yang lengkap terhadap rawatan tersebut, yang bermaksud mereka kini sembuh daripada kanser.

Kesemua mereka diraikan dalam satu majlis khas sempena penutup bagi kempen Bulan Kesedaran Kanser Kepala dan Leher (#HANCARE2024) yang berlangsung sepanjang April lalu.

Dalam majlis yang sama, bekas pesakit kanser lidah yang berkongsi pengalaman mereka menjalani rawatan dengan teknik brakiterapi (HyBIRT) yang berupaya untuk mengekalkan pertuturan dan fungsi menelan.

Majlis berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang turut meluangkan masa beramah-mesra bersama bekas pesakit-pesakit kanser yang didatangkan khas ke majlis itu.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 13.04.31

Hadir sama ialah Pengarah PPUSMB & Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Pensyarah Perubatan/ Pakar Otorinolaringologi Dr. Muhamad Yusri Musa, kakitangan perubatan dan pengurusan PPUSMB dan sebagainya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman pula berkata, sehingga kini PPUSMB merupakan satu-satunya pusat perubatan di Asia Tenggara yang mampu merawat kanser kepala dan leher dengan brakiterapi.

“Pada tahun 2016, kes pertama kanser lidah dirawat dengan teknik HyBIRT dan sejak itu, hampir 500 kes kanser kepala dan leher telah dirawat di PPUSMB dan lebih daripada 70 kes brakiterapi untuk kanser rongga mulut telah dilakukan oleh pakar-pakar dari PPUSMB,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, perkhidmatan cemerlang USM dalam brakiterapi telah mendapat perhatian badan profesional brakiterapi yang dikenali sebagai BrachyAcademy.

IPPT USM telah menerima akreditasi sebagai "BrachyAcademy International Educational And Research Centre" sejak tahun 2020 yang mana akreditasi berprestij ini diberikan untuk 5 bidang kanser: ginekologi, esofagus, hati, prostat, dan kepala dan leher, sekali gus membuktikan bahawa kepakaran dalam brakiterapi yang ditawarkan oleh IPPT USM diiktiraf oleh dunia.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024