USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANGKUL GELARAN JOHAN FEKAZ 2024

USM PULAU PINANG, 29 April 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) malam ini telah muncul sebagai Johan Festival Kesenian Zapin (FEKAZ 2024), iaitu sebuah acara universiti yang mempertandingkan tarian zapin bagi mengangkat seni budaya negeri Johor.

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, program anjuran Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan (GAJ) ini telah menyaksikan IKMAR USM menewaskan 7 buah universiti yang lain dalam pertandingan seni tari budaya Johor ini.

Dalam acara yang sama, USM turut meraih Anugerah Koreografi Terbaik.

Berslogankan ‘Rentak Jauhar, Alunan Selatan,’ acara FEKAZ yang julung kali diadakan pada malam ini bertujuan untuk menonjolkan bakat seni tari zapin, sekali gus memartabatkan kesenian serta keunikan Zapin Johor sebagai identiti sejati warisan Darul Takzim.

WhatsApp Image 2024 04 29 at 00.58.16

Perasmian program disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Aznan Tamin.

Aznan Tamin dalam ucapan perasmiannya berkata, pihak kerajaan negeri kini memberikan fokus terhadap pemerkasaan mahasiswa/i yang merangkumi aspek mengupayakan mereka dari sudut pembuatan keputusan, pengurusan, pengimbang tara, jurucakap seterusnya sebagai penghubung antara kerajaan negeri dengan menjadi mahasiswa yang lebih efisien dan dinamik bersesuaian dengan masa kini.

“Adalah menjadi hasrat kita bersama untuk  melihat mahasiswa/i terus berperanan lebih aktif dan produktif di peringkat lebih tinggi bukan hanya di universiti malah dalam peringkat masyarakat dan negara dalam melaksanakan gerak kerja yang lebih cakna bagi menyumbang kepada penghasilan pemimpin masa hadapan yang berwibawa,” kata Aznan.

Tambah Aznan, beliau yakin dan turut memberikan kepercayaan penuh kepada semua mahasisawa/i pada hari ini bahawa merekalah peneraju perubahan yang bakal menyaksikan pembaharuan serta keberhasilan demi kelangsungan bersama.

Sementara itu, wakil Naib Canselor USM, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azizah Omar mengucapkan setingngi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada meraka yang menyertai FEKAZ 2024.

“Saya berharap agar kita dapat sama-sama menanam semangat waja menjaga warisan bangsa bukan hanya di bibir, tetapi di minda dan jiwa agar warisan kesenian bangsa ini kekal menjadi salah satu pemacu utama sesebuah negara,” kata Azizah.

Menurut Pengarah Projek FEKAZ 2024, Fadzlin Najwa Mohd Noor, IKMAR USM telah berjaya melibatkan semua anak negeri di semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, yang mana ini menunjukkan bahawa perpaduan dapat dipupuk dalam semua lapisan masyarakat melalui seni budaya.

“Pelaksanaan program FEKAZ melibatkan pelbagai bangsa iaitu Melayu, India, Cina, Kadazandusun, Melanau dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa program kebudayaan dapat menyatukan kita semua,” katanya.

Antara 7 universiti lain yang turut serta dalam pertandingan ini adalah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Kuala Lumpur MITEC (UniKL MITEC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Naib Johan dan tempat ketiga FEKAZ 2024 masing-masing jatuh ke tangan UPM dan UTM.

Turut memeriahkan majlis adalah persembahan daripada Amira Othman, penyanyi Malaysia yang merupakan anak kelahiran Skudai, Johor, juga merupakan salah seorang finalis program Akademi Fantasia musim ke-10.

Hadir sama pada FEKAZ 2024 adalah Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Negeri Johor, Suhairi Hashim; Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Johor, Dr. Muhammad Aiman Nasuha Azari; Penasihat Utama IKMAR USM, Profesor Madya Chm. Dr. Mohd Hazwan Hussin; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Nazmi Hakimi Mohd Eirman; Presiden GAJ, Afirul Idris Ayub Khan dan Yang Dipertua IKMAR, Siti Nur Ain Yusra Edy.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Ebrahim Abd Manan & NirMaryadi Rashid

  • Created on .
  • Hits: 514

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024