USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERUBAHAN SET MINDA DAN PENGGUNAAN SISTEM YANG CEKAP DAPAT BANTU KEJAYAAN "GREEN HRM" DAN ORGANISASI

 DSC8057fgh

PULAU PINANG, 30 Mei 2015 - Antara cabaran utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pengurusan sumber manusia yang dapat menjaga alam sekitar atau 'Green HRM' ialan dengan mengubah set minda semua pihak yang terlibat dan menggunakan sistem perisian yang dapat meningkat kecekapan pengurusan terutamanya dalam aspek pelan penggantian sesebuah organisasi.

Pengurus Sumber Manusia syarikat Integrated Device Technology (M) Sdn Bhd Noor Azam Mohd Nor berpendapat yang paling penting ialah bagaimana untuk menukar srt minda semua pihak untuk melihat kepentingan pengurusan alam sekitar dalam konteks organisasi yang berkesan dengan melihat kepada pentingnya peningkatan kecekapan dalam teknologi yang berkaitan untuk mengubah seluruh proses hidup dan busnes yang ada.

 DSC8053d

Ketika membentangkan pandangannya yang bertajuk The Challenges and Success Factor on Green HRM Practices: A Reflection dalam Conference on Green Human Resource Management anjuran Pusat Pengajian Perniagaan (GSB) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi ini, Noor Azam yang mempunyai pengalaman kerjaya dengan banyak industri Top Fortune 500 berkata, tidak ramai yang sedar bagaimana teknologi dan revolusi industri telah memgubah corak hidup kita termasuk dalam hal berkaitan alam sekitar masa kini dan masa hadapan.

"Teknologi yang cepat berubah, kemajuan dalam sistem pengangkutan yang menjadikan kita lebih mudah bergerak dengan mobilisasi yang memberi impak kepada kerja yang dilakukan, teknologi pintar yang dapat meningkatkan keberkesanan kerja dan pemantauan sumber manusia secara maya dan keupayaan untuk meningkatkan nilai dalam setiap aktiviti memerlukan semua pihak bertindak pantas dan memahami komuniti, ekonomi yang berkembang dan set minda berteraskan 'green' untuk kelangsungan masa hadapan yang lestari," kata Noor Azam yang juga alumni USM dalam kumpulan pertama bidang Kejuruteraan Elektronik pada tahun 1983.

Beliau menggesa agar universiti melihat jauh ke hadapan dengan menghasilkan siswazah yang berfikiran futuristik dan saintis yang melihat keperluan jangka panjang dalam membangunkan masa hadapan yang lebih lestari.

"Mereka yang tidak berfikiran sedemikian akan cepat menjadi tidak relevan dan kejayaan dalam Green HRM bergantung kepada bagaimana kita memahami manusia melalui kepimpinan, sistem yang berkesan sebagai strategi dan proses kerja yang memberi nilai kepada setiap tindakan yang diambil," kata Noor Azam lagi.

Noor Azam mencadangkan juga agar satu sistem yang bersepadu digunakan memantau dan melaksanakan pengurusan sumber manusia yang menyeluruh untuk pembangunan masa hadapan bisnes dan masyarakat.

 DSC8031rth

Terdahulu, Pengarah Talent Asia Pacific and Middle East Motorola Solution (M) Sdn Bhd Puteri Nor Hamidar Megat Salleh berkata, pengurusan pelan penggantian yang menggunakan perisian yang cekap dan berkesan seperti Workday yang diigunakan dalam syarikatnya membantu kelestarian kepimpinanan organisasi dalam jangka panjang.

"Bagi kami, ia bukan sekadar pengurusan tanpa kertas atau mencetak kedua-dua belah muka surat mahu pun amalan menjaga alam sekitar yang banyak dibuat, Green HRM juga berkait dengan kecekapan sistem pengurusan pelan penggantian untuk menentukan kelangsungan industri dan bisnes yang dibuat," kata Puteri Nor Hamidar yang mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam pengurusan sumber manusia peringkat tinggi dan terlibat dalam projek pengurusan penambahbaikan kos pengurusan yang berjaya melakukan penjimatan hampir USD1 juta melalui pelbagai program khas yang dijalaninya di seluruh dunia.

 DSC8074tr

Tambahnya lagi, mereka mengkaji, meneliti dan memantau profil kakitangan yang dapat memenuhi pelan penggantian dalam jangka panjang dengan menjadikan HRM sebagai rakan kongsi peningkatan dan pemajuan bakat masa hadapan mereka yang di dalam Motorola.

Hal ini diperkukuhkan oleh mantan Pengarah Urusan Motorola Dato' T.T Yew yang melalui proses dan program pengurusan penggantian tersebut.

 DSC8072g

"Saya beruntung melalui pengalaman bersama-sama tiga orang pengarah urusan sebelum mengambil alih tugas yang sama dengan menjadikan mereka sebagai mentor melalui pengalaman luas mereka mahu pun perwatakan dan corak pengurusan yang berbeza-beza dengan disokong oleh sistem HRM yang menjadi rakan kongsi untuk meneruskan kejayaan yang dicapai oleh mereka sebelum ini," katanya berkongsi pengalaman yang dilaluinya di Motorola dengan kira-kira 50 orang peserta persidangan dua hari tersebut. - Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1486

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024