USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTINGKAT BAKAT BAHARU TERAJU INOVASI FINTECH, SERENTAK BANGUNKAN EKOSISTEM PASARAN MODAL ISLAM – PENGERUSI LGU USM

297a3841 0413 422d aca8 a1fb6fa6b8fa

USM PULAU PINANG, 20 April 2024 – Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin menyeru agar universiti khususnya USM berupaya melahirkan lebih ramai bakat baharu menerajui inovasi fintech Islam demi pembangunan ekosistem Pasaran Modal Islam (CMI) di negara ini.

Perkembangan fintech dan Pasaran Modal Islam (CMI) yang menjadi tumpuan global masa kini sudah pasti meningkatkan kesedaran bahawa bakat baharu amat penting untuk mendekati cabaran tersebut, dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran tentang teknologi kewangan Islam dan Pasaran Modal Islam di rantau ini.

Bercakap di majlis perasmian Varsity Hackaton (V HACK) 2024 anjuran Persatuan Sains Komputer USM di bawah Pusat Pengajian Sains Komputer USM, beliau menggesa generasi belia untuk merebut peluang menguasai teknologi kewangan masa kini melalui penemuan penyelesaian yang berpotensi untuk mengubah landskap Pasaran Modal Islam keseluruhannya.

“Menyedari kuasa transformatif Hackathon ini, saya percaya bahawa V HACK telah terbukti sebagai platform yang berkesan untuk membawa peserta dengan pelbagai latar belakang dan perspektif untuk bersama-sama memanfaatkan kuasa teknologi untuk kebaikan negara dan sejagat,” ucap beliau ketika merasmikan pertandingan Varsity Hackathon (V HACK) 2024 di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), di sini hari ini.

IMG 8522

Awang Adek yang juga Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menambah, selari dengan hasrat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia iaitu melalui pendekatan pemacu tunggal, FIKRA ACE kini terdiri daripada tiga komponen iaitu Accelerator - yang merupakan program pemacu bertumpukan penyelesaian Islam; Circle - platform rangkaian untuk menghubungkan pihak berkepentingan berkaitan pasaran modal Islam dan industri fintech; dan Excel - platform kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk pembinaan kapasiti.

“Kerjasama di antara USM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sudah pasti mampu membina platform utuh bagi melahirkan bakat-bakat yang boleh membentuk masa depan industri negara untuk tahun-tahun mendatang.

“Dengan memupuk dan memperkasakan generasi peneraju fintech Islam di masa hadapan, saya yakin negara bukan sahaja melabur untuk kecemerlangan individu, bahkan masa depan ekosistem pasaran modal Islam di Malaysia dapat dilestarikan secara keseluruhan,” jelas Awang Adek lagi.

IMG 8523

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, USM yang juga mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Eksekutif, Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Sharifatul Hanizah Said Ali; Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, USM, Profesor Dato’ Dr. Bahari Belaton; Penasihat Persatuan Sains Komputer USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Sufril Azlan Mohamed dan Pengarah Projek Varsity Hackathon 2024, USM, Lim Qian Yun.

V HACK ialah acara utama tahunan Persatuan Sains Komputer USM, yang kini diadakan untuk tahun ketiga berturut-turut. Ia merupakan hackathon yang diterajui mahasiswa USM dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi menarik peserta dari universiti tempatan dan antarabangsa dengan tumpuan kepada memupuk inovasi, kerjasama dan kreativiti dalam kalangan pelajar universiti untuk mereka meneroka teknologi masa kini yang berkembang pesat.

Pada edisi kali ini, V HACK telah menyediakan bengkel bermaklumat, penceramah berpengalaman, mentor berdedikasi, dan hadiah untuk dimenangi sehingga bernilai RM35,000.

IMG 8524

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pusingan awal akan diadakan secara dalam talian dan seterusnya di kemuncak pusingan akhir, pasukan teratas akan bertanding di USM bagi merebut hadiah-hadiah yang ditawarkan.

V HACK 2024 telah menarik penyertaan lebih dari 900 orang peserta, melibatkan 250 pasukan yang mewakili 90 buah universiti di seluruh dunia bertanding buat edisi kali ini.

Antara negara-negara terlibat membabitkan Kanada, China, Ghana, Indonesia, Jepun, Afrika Selatan, Arab Saudi, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat, India, Singapura dan Malaysia.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 186

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024