USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMBANGUNAN PINTAR UNTUK MASA HADAPAN YANG LESTARI

IMG 0005dfhfh

PULAU PINANG, 29 Mei 2015 - Negara memerlukan pembangunan infrastruktur pintar dalam melestarikan masa hadapan untuk generasi yang akan datang melalui pelbagai aplikasi yang ada termasuk dalam proses pendidikannya.

Demikian dinyatakan oleh pakar dalam bidang Seni Bina Profesor Dr. Ar. Abdul Malek Abdul Rahman ketika menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang bertajuk Ke Arah Melestarikan Alam Bina untuk Generasi Masa Hadapan di sini hari ini.

“Dunia berhadapan dengan pelbagai cabaran, ledakan teknologi maklumat, pelbagai aplikasi pintas elektronik dan pada masa yang sama diancam oleh peningkatan darjah suhu purata bumi, pemanasan global dan pelbagai bencana yang sebahagian besarnya disebabkan oleh tindakan dan aktiviti manusia apatah lagi dengan bertambahnya populasi manusia sekarang ini.

IMG 0026

IMG 0021ghkh

“Kerana itu dalam perancangan alam bina, hal ini perlu diambil kira sama ada untuk pembinaan bangunan tinggi, penggunaan ruang mahu pun lain-lainnya yang saling berkait kesannya kepada manusia dan bumi seluruhnya,” kata Abdul Malek.

Tambahnya, sebuah bangunan boleh mencapai kecekapan tenaga jika direka bentuk dari awal mengambil kira elemen-elemen reka bentuk tertentu dengan memahami fungsi setiap elemen kecekapan tenaga, bukan sahaja dari segi estetika tetapi juga elemen yang dapat mengurangkan penyerapan haba pada bangunan.

“Tenaga diperbaharui daripada pelbagai sumber mula digunakan untuk kegunaan seharian penduduk seluruh dunia tetapi masih belum meluas kerana kos yang tinggi disebabkan penggunaan yang rendah dan orang masih was-was yang perlukan kempen yang lebih hebat,” katanya lagi.

Beliau menyarankan agar teknologi pintar dimanfaatkan sepenuhnya dalam setiap perancangan dan usaha yang dibuat, memperkasakan proses pendidikan yang mampu melahirkan penduduk yang bijak dalam memanfaatkan sistem kesihatan pintar serta pengurusan bangunan yang pintar hasil pembangunan pelbagai aplikasi elektronik mahu pun penggunaan penilaian penggunaan tenaga bangunan seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju yang berasaskan teknologi hijau.

IMG 0033sdfd

IMG 0027afeaf

“Kita memerlukan pandangan yang jauh ke hadapan di luar daripada pemikiran semasa namun berasaskan kepada pelbagai kejadian yang berlaku pada masa ini untuk generasi yang akan datang dengan memanfaatkan pelbagai kajian dengan mengambil kira isu pemanasan global dan pertambahan pesat penduduk,” kata Abdul Malek.

Anak kelahiran Kampung Alai Melaka ini tersenarai sebagai anak Melayu ketiga di negara yang mendapat gelaran Ar. pada tahun 1995 setelah menamatkan pengajian terus ke peringkat ijazah kedoktoran (Ph.D) dari University of Wales College of Cardiff United Kingdom yang dilantik sebagai profesor di Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan USM pada 2014.

Beliau mula berkhidmat di USM pada tahun 1986 sebelum melanjutkan pengajiannya ke luar negara serta banyak mendapat pendedahan luas dalam sektor swasta yang membolehkannya mengaplikasikan pengalaman dan keperluan industri dalam kurikulum pengajian untuk pelajar di universiti.

IMG 0036fgjg

IMG 0059qwf

Minat utamanya adalah dalam reka bentuk seni bina berkecekapan tenaga dan kelestarian dalam alam bina dengan tumpuan penyelidikan yang mengambil strategi mereka bentuk bangunan dengan menggunakan bahan-bahan mengkalis penyerapan haba daripada sinaran matahari dan juga strategi membantu mengeluarkan haba dengan cepat daripada dalaman bangunan bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik untuk keselesaan penghuni.

Hadir sama dalam syarahan ini ialah Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM Profesor Madya Dr. Aldrin Abdullah; Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat Profesor Madya  Dr. Ahmad Sofiman Othman; pegawai-pegawai utama USM, para pensyarah USM serta para pelajar. - Teks: Mohamad Abdullah & Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1299

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024