48 ATLET USM BAKAL BERENTAP DI KEJOHANAN MASUM 2024 FASA 1
USM PULAU PINANG, 16 April 2024 - Bersempena dengan Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Liga Futsal IPT 2024 yang bakal berlangsung, Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah mengadakan Majlis Penghargaan dan Simbolik Penyerahan Bendera Kontinjen USM yang akan menyertai kejohanan Karnival Sukan MASUM 2024 dan Liga Futsal IPT 2024.
Penyerahan bendera ini secara simboliknya berperanan sebagai panji untuk pasukan USM berjuang berhabis-habisan dengan membawa harapan dan semangat juang sebelum semua atlet mula beraksi di kejohanan tersebut.
Hadir bagi merasmi dan menyerahkan bendera kepada para kontinjen adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Dalam ucapan perasmiannya, Shaharum mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para atlet yang telah berjaya terpilih dan melepasi syarat kelayakan untuk menyertai Karnival Sukan MASUM 2024.
Beliau turut berbangga dengan pasukan Futsal Lelaki dan Wanita USM yang telah berjuang berhabis-habisan untuk mendapatkan tempat di Kejohanan Liga Futsal IPT, yang mana buat pertama kalinya USM telah melayakkan diri ke Liga Futsal IPT.
“Kepada mereka yang bertanding dalam pasukan, wujudkanlah nilai kebersamaan berpasukan, manakala kepada mereka yang bertanding secara individu, berjuanglah sehabis baik kerana usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim berkata, Pusat Sukan dan Rekreasi USM mengharapkan komitmen yang ditunjukkan oleh semua atlet akan membuktikan betapa tingginya semangat kesukanan, ukhuwah dan kerjasama antara warga USM dalam bidang sukan, yang akan membawa kepada output kecemerlangan dalam program penyertaan sukan.
“Sesuai dengan hala tuju USM dan sasaran APEX 2024, matlamat pembangunan bakat adalah untuk melahirkan atlet berkualiti dan seterusnya boleh membawa kecemerlangan pada nama USM di persada kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet yang akan bertanding, dan segala penat lelah serta pengorbanan anda semua demi mengharumkan nama Universiti amatlah dihargai,” ujar Hairul.
Tambah Hairul, Karnival Sukan MASUM pada tahun ini akan menjadi penanda aras atau 'benchmark' untuk penyertaan MASUM pada tahun hadapan, berdasarkan pencapaian atlet dan pasukan.
Seramai 48 atlet termasuk 16 pengiring mewakili USM ke Karnival Sukan MASUM 2024 Fasa 1 yang bakal berlangsung pada 22 hingga 27 April 2024 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), manakala di MASUM 2024 Fasa 2 akan berlangsung pada 6 hingga 12 Mei 2024 di Universiti Malaya (UM) dengan penyertaan seramai 150 atlet bersama 20 pengiring.
Warga sukan USM akan mengambil bahagian dalam 7 acara sukan di Fasa 1 MASUM iaitu bola tampar pantai, catur, petanque, ping pong, silat, taekwondo dan memanah.
Hadir sama pada majlis adalah Ketua Unit Bahagian Pembudayaan dan Kecemerlangan Sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Mohd Hafezi Mat Zain; Pengarah Urusan Regles Store Kota Bharu, Wan Syamim Dazizi; Pengarah Urusan Extravanganza Futsal Shop, Mohd Ikhlas Mat Ariffin dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 562