PROGRAM MISI SOLIDARITI 4.0 PUPUK NILAI KEMANUSIAAN, JAGA KEBAJIKAN PENGHUNI KELAINAN UPAYA DESASISWA
USM PULAU PINANG, 12 April 2024 – Berikutan dengan kejayaan dan impak Misi Solidariti yang telah dijalankan pada sidang akademik 2022/2023, Program Misi Solidariti 4.0 diteruskan pada sidang akademik ini.
Berlangsung pada 31 Mac yang lalu di Padang Aman, Desasiswa Aman Damai, program anjuran Jabatan Kebajikan dan Kerohanian Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai (MPDAD), Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut merupakan inisiatif berkonsepkan nilai kemanusiaan bagi menjaga kebajikan penghuni desasiswa terutamanya golongan pelajar kelainan upaya (PKU).
Hadir merasmikan program tersebut mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM ialah Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar.
Dalam ucapannya, Azizah berkata, melalui program ini, kita dapat mengenal pasti dan membantu penghuni yang memerlukan bantuan seperti pelajar kelainan upaya (PKU) melalui aktiviti kebajikan MPDAD.
“Ini sekaligus dapat memantapkan kompetensi kepimpinan dan nilai kerja berpasukan dalam kalangan pelajar melalui pengendalian projek yang cekap dan berstruktur selari dengan agenda H.E.B.A.T. (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) USM.
“Saya berharap agar Program Misi Solidariti 4.0 yang dijalankan ini mampu memberi impak yang besar dalam menaikkan semangat para pelajar untuk terus menimba pengalaman dalam bidang kesukarelawanan serta dapat meningkatkan sikap saling prihatin dan tolong menolong dalam diri pelajar,” katanya lagi.
Terdahulu, Pengarah Projek Misi Solidariti 4.0, Amiruddin Azhar Zulkifli, ketika berucap berkata, program ini bertujuan untuk mempromosikan tema solidariti, yang menggambarkan penyatuan dan kerjasama di antara pelajar tanpa mengira perbezaan individu.
“Tema "Embracing Differences, Building Unity" dipilih untuk menekankan kepentingan menerima perbezaan dan membangun kesatuan dalam kalangan pelajar,” katanya lagi.
“Selain itu, program ini juga dirancang untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara barisan Exco MPDAD dengan penghuni Desasiswa Aman Damai.
“Kelainan yang dibawa untuk misi pada kali ini adalah aktiviti memasak dan menyediakan makanan secara bergotong royong, kaedah berkongsi rezeki secara berbufet ketika berbuka puasa dan pinggan dibawa sendiri oleh pelajar, sebagai menjayakan agenda kelestarian universiti,” jelasnya lagi.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa (MPD), Zulkifli Che Hussin; Timbalan Pengerusi MPD, Ts. Dr. Shahrizal Nazri; Pemangku Penggawa Desasiswa Aman Damai merangkap Penasihat Projek Misi Solidariti 4.0, Nurul Izzati Rozali; YDP MPDAD merangkap Pengerusi Majlis Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa (MYDP) Sidang Akademik 2023/2024, Muhammad Nifail Rifqi Rosli; barisan penolong penggawa Desasiswa Aman Damai; barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM; barisan Majlis Tertinggi MPDAD; dan barisan Exco MPDAD.
Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 302