USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN PTPTN BEKERJASAMA ANJUR IMARAH RAMADAN PTPTN (IMRAN) 2024

WhatsApp Image 2024 04 03 at 5.33.19 PM

USM PULAU PINANG, 4 April 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini telah bersama-sama menjayakan Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) bagi berkongsi rezeki bersama pelajar dan staf asnaf USM.

Program IMRAN merupakan program ‘signature’ di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN yang diadakan sejak tahun 2021 melibatkan aktiviti gotong-royong antara kakitangan PTPTN, staf USM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, pelajar dan masyarakat setempat.

WhatsApp Image 2024 04 03 at 5.33.09 PM   WhatsApp Image 2024 04 03 at 5.33.11 PM

Program ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat terutamanya para pelajar IPT dan mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh rahmat ini.

Melalui program ini, PTPTN dan USM telah bersama-sama bergotong-royong menyediakan 800 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelajar, staf dan seluruh warga USM.

Di majlis agihan tersebut, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya menyatakan bahawa program seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara PTPTN dengan USM serta sekaligus dapat meningkatkan perspektif positif masyarakat tentang PTPTN.

“Oleh itu, di kesempatan ini saya menyeru para pelajar agar terus menghargai jasa PTPTN dengan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat memberi balik manfaat kepada negara dan masyarakat.

“Sudah semestinya para pelajar juga hendaklah menyedari tentang tanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman apabila tamat pengajian kelak.

“Ini sangat penting untuk memastikan kelangsungan pinjaman kepada kejayaan generasi akan datang iaitu adik-adik kita yang turut akan melanjutkan pengajian,” katanya lagi.

Turut sama menyampaikan ucapan, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN sentiasa prihatin dengan mengadakan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat dan memastikan kesejahteraan golongan yang memerlukan.

“Sepanjang tahun, PTPTN menganjurkan pelbagai program perkongsian rezeki buat komuniti setempat dan ini adalah bukti keprihatinan PTPTN yang cakna dan sentiasa berkongsi rezeki dengan masyarakat terutamanya para pelajar yang dihimpit dengan kos sara hidup dan krisis kewangan yang tidak menentu,” katanya.

Tambah Norliza lagi, sebagai agensi di bawah KPT, diharapkan USM dan PTPTN dapat terus bekerjasama dalam pelbagai program pada masa akan datang untuk kepentingan masyarakat dan pembangunan negara.

WhatsApp Image 2024 04 03 at 5.33.20 PM   WhatsApp Image 2024 04 03 at 5.33.21 PM

Beliau dan Naib Canselor turut berkesempatan mengedarkan bubur lambuk bersama-sama warga staf PTPTN dan Pusat Islam di perkarangan Masjid Al Malik Khalid dan pintu masuk Sungai Dua secara pandu lalu kepada warga kampus.

Turut hadir adalah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; dan warga sukarelawan USM bagi penyediaan Iftar di Masjid Al Malik Khalid.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor 

  • Created on .
  • Hits: 306

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024