USM MENYAMBUT BAIK PENGEKALAN STATUS SWAAKREDITASI OLEH MQA
USM PULAU PINANG, 1 April 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai sebuah Universiti berstatus Swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) sehingga tahun 2027.
Pernyataan yang pastinya membanggakan dan menggembirakan seluruh warga USM itu telah disampaikan secara bertulis oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed baru-baru ini, beserta Sijil Perakuan Status Swaakreditasi.
Pengiktirafan pengekalan status swaakreditasi itu diberi berikutan audit yang telah dilakukan oleh MQA yang telah menilai dan mengenal pasti kekuatan serta perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh USM.
Agensi tersebut juga mengucapkan tahniah kepada USM dengan pencapaian tersebut dan berharap agar keputusan audit itu dapat membantu pihak universiti dalam melaksanakan perancangan di masa hadapan.
USM telah dianugerahkan status Swaakreditasi oleh MQA pada 29 April 2010.
Ia merupakan satu Perakuan yang melayakkan sesebuah Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) mengakreditasi program akademik/pengajiannya sendiri berpandukan kepada Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta standard dan ketetapan yang ditetapkan oleh pihak MQA dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari semasa ke semasa, kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan.
Namun, sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi, pihak MQA akan melaksanakan Audit Institusi bagi pengekalan status tersebut dalam tempoh masa setiap 5 tahun kepada universiti.
Mengimbas kembali, Audit Pematuhan Swaakreditasi telah dilaksanakan pada 8, 9 dan 14 Februari 2022 dan selanjutnya Audit Susulan terhadap syarat-syarat pengekalan swaakreditasi telah diadakan pula pada 17 Ogos 2023.
Setelah selesai auditan ini, maka USM telah berjaya mengekalkan statusnya sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi mulai 25 Mac 2024 sehingga tahun 2027.
Pihak Universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Swa Akreditasi USM yang diterajui Pengarahnya, Profesor Dr. Azura A Rashid, dan juga kesemua PTJ lain yang terlibat dalam eksesais pengauditan tersebut.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 349